Apakah yang terjadi selepas telur dikutip?
Ramai yang bertanyakan apa yang terjadi selepas telur dikutip. Bilakah proses persenyawaan berlaku? Selepas telur dikutip ketika Oocyte Pick Up (OPU), telur diambil akan diproses dan seterusnya akan disenyawakan di makmal dengan sperma suami pada hari yang sama. Pada waktu ini kebanyakkan pasangan sudah pulang ke rumah.
Seperti yang kita tahu proses pengambilan telur mengambil masa antara 30 hingga satu jam, namun berapa bilangan telur yang berjaya bersenyawa hanya akan diketahui keesokkan harinya.
Adakah semua telur yang berjaya dikutip dapat disenyawakan? Tidak. Ini adalah kerana hanya telur yang matang sahaja dapat menerima sperma dan boleh disenyawakan. Sebab inilah mengapa tidak semua telur yang dikutip boleh disenyawakan. Oleh itu, adalah penting untuk menyedari bahawa hanya telur yang matang sahaja yang dapat digunakan untuk persenyawaan. Maka adalah menjadi lumrah apabila OPU dilakukan ada telur yang matang dan ada juga yang tidak matang. Namun bilangan telur yang matang melebihi telur yang tidak matang sekiranya waktu OPU dilakukan pada waktu yang optima. Doktor akan membuat keputusan akan bilakah masa terbaik untuk OPU berdasarkan saiz folikel dan juga paras hormone estrogen, progesteron dan LH.
Persenyawaan berlaku bergantung pada situasi pasangan samada melalui IVF iaitu sperma diletakkan di dalam patry dish yang mengandungi telur dan dibiarkan semalaman untuk bersenyawa atau dengan menggunakan teknik ICSI, di mana sperma dipilih oleh embryologist dan disuntik terus ke dalam telur. Teknik ICSI sering digunakan bagi pasangan yang mengalami masalah sperma.
Setelah telur disenyawakan, telur akan dimasukkan ke dalam incubator. Keesokan harinya embryologist akan memeriksa akan berapa banyak telur yang telah disenyawakan dan menjadi embrio. Ini juga yang dikatakan sebagai ‘fertilization check’. Pada peringkat ini, embryologist akan menghubungi pasangan untuk memberitahu perkembangan berapa banyak telur yang telah disenyawakan untuk membentuk embrio awal.
Langkah seterusnya adalah proses pembahagian sel yang dilalui oleh embryo di dalam incubator. Ini juga adalah merupakan proses saringan. Di mana embryo yang kuat akan bertahan dan terus membahagi. Penting untuk diketahui di sini bahawa tidak semua embrio akan membahagi. Ada yang berhenti membahagi atau arrested. Pada peringkat awal ini jika terdapat embrio yang berkualiti, embryo akan terus membahagi sehingga peringkat blastocyst (Day 5 atau day 6 embryo).
Namun begitu bergantung kepada jumlah telur yang dikutip, bilangan embryo yang berjaya bersenyawa dan perkembangan embryo, pemindahan atau pembekuan embryo akan dilakukan samada pada hari ke 2, 3, 4, 5 atau 6. Perancangan ini mungkin diubah bergantung pada keadaan masing-masing. Embryologist akan menghubungi dan update pasangan dari masa ke semasa.
Pasangan perlu mengetahui rawatan IVF ini bukan sahaja merupakan rawatan semata-mata namun ianya juga adalah sejenis ujian terutamanya kepada kualiti telur, sperma dan embryo yang terhasil. Jika selama ini ujian yang dijalankan adalah merupakan ujian kuantitatif, IVF merupakan ujian kualitatif. Maklumat kualiti hanya akan diketahui semasa proses IVF itu dijalankan.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jika terdapat sebarang persoalan adalah dinasihatkan pasangan berhubung dengan doktor fertiliti anda.