Betulkah vape adalah lebih ‘sihat’ dari merokok? Mungkin ini tanggapan awal masyarakat. Malah ramai yang bertukar dari merokok kepada vape sebab ianya dianggap lebih bersih dan selamat. Ini semestinya sangkaan yang tidak betul. Diaggarkan hampir 3.2% dari warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas menggunakan vape. Manakala 2.3% merokok dan menggunakan vape.
Vape adalah sejenis rokok elektronik yang menghasilkan wap mengandungi nikotin. Wap ini akan pula disedut ke dalam melalui mulut ke peparu. Selain nikotin, wap vape ini juga mengandugi kandungan lain seperti tetrahydrocannabinol (THC), propylene glycol, glycerol dan larutan berperisa.
Oleh kerana rokok elektronik ini adalah alat yang baru, ianya tidak melalui proses penseliaan yang ketat seperti rokok biasa. Ini bermaksud banyak perkara yang tidak diketahui akan kesannya kepada kesihatan.
Sehingga kini terdapat hampir 3000 kes melibatkan penyakit peparu akibat rokok elektronik. Ianya juga dikenali sebagai “E-cigarrette or Vaping Associated Lung Injury (EVALI)”.Kajian lain juga menunjukkan terdapat bahan yang boleh mengakibatkan kanser. Dengan lebih maklumat didapati, rokok elektronik TIDAK boleh dianggap sebagai alternative kepada rokok. Rokok elektronik juga didapati TIDAK membantu dalam langkah seseorang itu untuk berhenti merokok.
Adakah vape memberi kesan kepada sperma?
Larutan yang digunakan untuk rokok elektronik boleh memberi kesan kepada sperma. Sebagai contoh, larutan yang berperisa bubblegum boleh membunuh sel- sel di testis. Testis adalah tempat sperma di hasilkan. Manakala campuran larutan yang perisa serbuk kayu manis (cinnamon) memberi kesan yang buruk kepada pergerakkan sperma (sperm motility).
Bagaimana pula Vape dan kesannya kepada embrio?
Kajian terkini juga menunjukkan bahawa penggunaan rokok elektronik juga akan melambatkan proses penempelan embrio kepada dinding rahim. Kajian juga menunjukkan rokok elektronik akan memberi impak jangka panjang kepada kesihatan bayi di dalam kandungan.
Secara kesimpulannya, adalah lebih baik untuk berhenti merokok dan tidak menggunakan vape sama sekali. Mungkin ini mudah untuk diucapkan. Namun tabiat ini amat sukar untuk dihentikan. Benbincanglah dengan doktor agar langkah untuk hentikan vape atau merokok dapat diambil dengan sebaiknya.