Warning: Undefined array key "options" in /var/www/wp-content/plugins/elementor-pro/modules/theme-builder/widgets/site-logo.php on line 93
VAKSIN COVID-19 & TTC » Laman Fertiliti Kernamu
qtq80-ngY3uC

VAKSIN COVID-19 & TTC

Ramai yang bertanyakan mengenai vaksin covid dan implikasinya pada pasangan TTC. Seperti yang kita ketahui setakat ini (Mei 2021) terdapat tiga jenis vaksin yang ada di Malaysia iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac. Kesemua vaksin ini memerlukan dua dos bagi memastikan kadar keberkesanannya berada pada peratus yang tinggi. 

Antara tiga vaksin tersebut, hanya Pfizer yang dibenarkan oleh KKM sebagai vaksin bagi ibu yang mengandung. Pengambilan vaksin Pfizer boleh diambil antara 14 hingga 33 minggu mengandung. Pfizer juga boleh diambil oleh ibu yang menyusu. Oleh kerana kekurangan data buat ketika ini, AstraZeneca dan Sinovac tidak boleh diberikan kepada ibu yang mengandung. AstraZeneca boleh diberikan kepada ibu yang menyusu. Tetapi Sinovac tidak boleh diberikan kepada ibu yang sedang menyusu. 

Pelbagai soalan yang bermain difikiran. Oleh kerana kes Covid kini meningkat tinggi di Malaysia, rata- rata risau akan kesan jangkitan Covid ini. Maka ramai yang ingin mengambil vaksin sebagai langkah mengurangkan kesan jangkitan Covid. Berikut adalah beberapa soalan lazim yang kerap dipersoalkan bagi TTC. 

  1. Perlukan TTC mengambil vaksin? 

Ya. TTC digalakkan mendaftar dan mengambil vaksin pada waktu yang terdekat. Mereka digalakkan untuk menyegerakan pengambilan vaksin. Ini adalah bagi mengurangkan risiko dan kesan jangkitan Covid. 

  1. Perlukah saya menagguhkan pengambilan vaksin Covid?

Tidak. TTC digalakkan menyegerakan pengambilan vaksin Covid. 

  1. Apakah jenis vaksin yang sesuai untuk TTC? 

Vaksin yang sesuai untuk TTC adalah mana- mana vaksin yang akan didapatinya TERDAHULU. Ini bermaksud tidak kiralah apa jenis vaksin yang ada, ambil sahaja yang mana satu yang boleh diambil pada waktu yang paling terdekat. Buat ketika ini, kita di Malaysia tidak mempunyai ruang untuk memilih vaksin mana yang boleh diambil pada waktu yang terdekat. Apa yang ada dulu, sila ambil terus. 

TTC perlu memahami, apapun vaksin yang diambil, ianya mampu mengurangkan risiko jangkitan. Walaupun sekiranya masih dijangkiti selepas vaksin, kita dapati kesannya tidak seteruk jika tidak mengambil vaksin.

Tatkala jangkitan Covid kini semakin banyak dan serius, apapun langkah yang diambil perlulah dipertimbangkan akan risiko sekiranya tidak mengambil vaksin.  

  1. Adakah vaksin Covid akan memberi kesan kepada tahap kesuburan? 

Tidak. Vaksin Covid tidak memberi apa- apa kesan kepada kesuburan seseorang wanita ataupun lelaki.

Malah ada kajian yang menunjukkan jangkitan Covid boleh memberi kesan kepada bacaan sperma dari segi bilangan dan kualiti sperma tersebut. Namun lebih banyak data dan kajian diperlukan. 

  1.  Bolehkah vaksin Covid diambil ketika rawatan fertiliti (IVF, FET, IUI dan Ubat Subur) dijalankan? 

Ya. Vaksin boleh diambil. 

Namun begitu TTC mungkin perlu mengambil kira waktu vaksin diambil agar ianya tidak terlalu dekat dengan prosedur rawatan seperti kutip telur. Ini adalah kerana pengambilan vaksin boleh memberikan kesan sampingan seperti sakit badan, demam atau rasa kurang bermaya. 

  1. Adakah rawatan fertiliti patut dilewatkan? 

Tidak. Ini adalah kerana fetiliti akan terkesan dengan usia. 

Namun begitu antara situasi yang boleh dilewatkan rawatan fertiliti adalah pasangan ingin melengkapkan pengambilan vaksin sebelum mengandung. Bagi mereka yang mempunyai bacaan rizab telur yang memuaskan dan berusia bawah 37 tahun, maka melengkapkan pengambilan vaksin adalah salah satu pilihan. Ini kerana melewatkan rawatan fertiliti beberapa bulan tidak memberi kesan kepada kejayaan rawatan fertiliti. Namun bagi mereka yang berusia 37 tahun ke atas atau bacaan rizab telur yang sudah berkurangan, melewatkan rawatan fertiliti walaupun beberapa bulan boleh memberi kesan kepada peratus kejayaan rawatan fertiliti. 

  1. Bilakah rawatan fertiliti boleh dimulakan semula selepas vaksin? 

Secepat mungkin. Namun ramai yang berpendapat, tempuh sebulan selepas dos kedua vaksin diterima. 

  1. Bolehkah mengambil vaksin ketika mengandung? 

Ya boleh. Sehingga kini, KKM membenarkan pengambilan vaksin Pfizer bagi ibu mengandung ketika usia kandungan antara 14 hingga 33 minggu. 

  1. Vaksin AstraZeneca dos pertama sudah diterima. Dos kedua dalam masa 12 minggu. Namun kini mengandung. Adakah kandungan selamat? Bolehkah saya menerima dos kedua nanti? 

Secara umum, hanya Pfizer dibenarkan diambil oleh ibu mengandung kerana mempunyai cukup data. Data bagi AstraZeneca and Sinovac masih terhad bagi ibu mengandung. Dos pertama yang diterima dapat mengurangkan risiko jangkitan pada tahap tertentu. Namun ada kemungkinan, dos kedua terpaksa ditangguhkan sehingga selepas bersalin atau tidak diberikan. Namun dengan adanya lebih data kelak, pendirian ini mungkin berubah dari masa ke semasa.

  1. Adakah vaksin Covid menyebabkan keguguran? 

Tidak. Tiada data yang menunjukkan wanita yang mengandung mempunyai risiko keguguran akibat pengambilan vaksin Covid. 

Semoga pencerahan kali ini bermanfaat. Berbincanglah dengan doktor pakar fertiliti anda sekiranya terdapat apa- apa keraguan dan kebimbangan. 

Rujukan.

  1. https://www.britishfertilitysociety.org.uk/wp-content/uploads/2021/02/Covid19-Vaccines-FAQ-1_3.pdf

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print