Tiub fallopian adalah saluran yang bersambung dengan rahim. Di hujungnya terdapat fimbria yang berperanan untuk menyambut telur yang dilepaskan oleh ovari. Tiub berfungsi dengan membantu pemindahannya telur yang dikeluarkan dari ovari. Sperma dan telur bertemu di tiub fallopian di mana persenyawaan berlaku. Embrio yang terbentuk kemudian dipindahkan ke rahim di mana ia menempel.
Sekiranya salah satu atau kedua-dua tiub fallopian tersumbat, ini memberi kesan kepada keupayaan anda untuk hamil. Oleh itu, pemeriksaan tiub fallopian adalah antara pemeriksaan yang dilakukan ketika ujian saringan dilakukan.
Terdapat tiga cara bagaimana tiub fallopian diperiksa. Ini boleh dilakukan samada melalui penggunaan Xray atau lebih dikenali sebagai Hysterosalpingography (HSG), atau menggunakan Ultrasound Hysterosalpingo-kontras-ultrasonografi (HyCoSy), atau melalui teknik pembedahan Laparoskopi.
Wanita yang tidak pernah mengalami jangkitan di pelvis, kehamilan luar rahim atau mengalami endometriosis secara umumnya teknik yang boleh digunakan adalah samada HSG atau HyCoSy bergantung kepada kepakaran yang ada. Wanita yang disyaki mempunyai endometriosis atau jangkitan pelvis sebelum ini akan ditawarkan laparoskopi. Laparaskopi adalah sesuai digunakan pada masa yang sama kerana ia boleh dirawat pada masa yang sama.
HSG adalah prosedur kecil yang biasanya dilakukan dalam masa hari ke lapan hingga hari ke dua belas dari permulaan tempoh haid. Speculum akan digunakan, tiub kecil akan dimasukkan ke dalam rahim melalui serviks atau pangkal rahim. Pewarna kemudian akan dimasukkan dan seterusnya akan mengalir melalui tiub ke rongga rahim anda dan sinar-X akan diambil. Ia boleh menjadi agak tidak selesa tetapi kebanyakan wanita dapat melaluinya dengan baik. Terdapat sedikit risiko jangkitan yang boleh merebak dari vagina ke pelvis. Oleh itu saringan untuk jangkitan ditawarkan sebelum prosedur atau anda akan diberikan antibiotik.
HyCoSy adalah serupa dengan HSG, tetapi aliran pewarna akan dapat dilihat dengan menggunakan imbasan ultrasound.
Teknik laparoskopi adalah sejenis pembedahan kecil menggunakan kamera dan biasanya dilakukan sebagai kes balik hari. Wanita akan diberi ubat tidur oleh pakar bius, potongan kecil (1cm) dibuat di pusat dan perut anda dimasukkan gas. Kamera kecil dimasukkan ke dalam lubang tersebut. Potongan kedua yang lebih kecil (1/2 cm) dibuat untuk membolehkan alat lain digunakan yang membantu pakar bedah memeriksa rahim, ovari dan tiub fallopian . Pewarna biru disalurkan ke rahim dan diperhatikan ketika ia memenuhi dan kemudian keluar dari tiub fallopian dengan syarat ia terbuka. Laparoskopi adalah dikaitkan dengan lebih banyak risiko daripada HSG atau HyCoSy. Maka tidak hairanlah laparascopy hanya digunakan pada situasi tertentu. Risiko termasuk jangkitan, pendarahan berlebihan yang memerlukan pemindahan darah, pembekuan darah di kaki dan paru-paru, dan kerosakan pada usus, pundi kencing dan saluran darah utama adalah antara risiko yang ada walaupun ianya jarang sekali berlaku. Pilihan ujian untuk tiub fallopian bergantung pada keadaan kesihatan dan latar belakang anda. Setiap ujian mempunyai kelebihan dan batasannya yang tersendiri. Bincangkan perkara ini dengan pakar kesuburan anda bagi membolehkan anda untuk membuat keputusan yang terbaik.