Warning: Undefined array key "options" in /var/www/wp-content/plugins/elementor-pro/modules/theme-builder/widgets/site-logo.php on line 93
PENANTIAN DI HARI IBU » Laman Fertiliti Kernamu
qtq80-NZzgld

PENANTIAN DI HARI IBU

Hari ini hari ibu sedunia. Namun bagi ibu mu ini semuanya hanyalah satu lagi peringatan bahawa hakikatnya ibu masih tidak memilikimu sayang. Memang benar besar sungguh pengorbanan seorang ibu. Dari sewaktu kandungan, melahirkan dan mendewasakan. Namun manisnya pengorbanan itu masih tidak dapat ibu rasai. Sebaliknya ibu terpaksa menelan pahit derita kesengsaraan ini setiap detik ibu ingin bertemu dengan mu sayang.

Sudah penat untuk ibu pujuk perasaan ini. Mengalirnya air mata basah di pipi adalah perkara biasa ibu lalui hari demi hari. Segala-gala yang ibu lalui akan mengingatkan ibu impikan selama ini. Setiap bulan datangnya darah, ibu akan menangis. Setiap kali hanya ada satu garisan, ibu teresak kekecewaan. Setiap kali ibu lihat kereta ibu kosong di belakang, ibu akan bersedih. Apabila ibu lihat orang lain membeli baju bayi, ibu cemburu. Bila kawan-kawan ibu memuat naik gambar anak kesayangan mereka, ibu hiba. Ibu tidak ada semua itu. Apabila ibu pulang kerumah, ibu merasakan rumah ini teramat kosong. Mengapa tiada suara gelak tawamu sayang? Mengapa rumah ibu begitu teratur dan tersusun rapi, teramat sunyi, terasa sepi.

Mengapa tiada suara gelak tawamu sayang? Mengapa rumah ibu begitu teratur dan tersusun rapi, teramat sunyi, terasa sepi..

Sesungguhnya, bukannya ibu tidak berusaha. Segala cara ibu sudah ikhtiarkan. Cakap sahaja apa bendanya atau ke mana saja, maka akan ibu cari, akan ibu kerah segala tenaga yang ada untuk mengusahakannya. Tidak kurang dengan rawatan moden atau tradisional, hampir semua tempat sudah ibu jejaki. Dengan diperhidangkan perlbagai jenis pakej rawatan yang ada di atas kertas brosur berkilat, pilihlah yang mana berkenan sekadar yang ibu mampu. Seolah-olah rawatan 100% akan berjaya. Namun hakikatnya tiada siapa yang boleh memberi jaminan. Tiada siapa yang mengetahui liku-liku rawatan diberikan. Suntikan demi suntikan. Ubat demi ubat. Berapa kalikah pemeriksaan yang perlu ibu lalui. Tanpa segan silu lagi, seolah-olah ruang diantara dua kaki ibu ini sudah menjadi tontonan dunia.

Berilah ibumu peluang untuk merasai nikmat pengorbanan ini..

Tidak. Sesungguhnya ibu bukannya irihati dengan apa yang orang lain miliki. Cuma ibu tertanya-tanya mengapakah kemanisan ini hingga kini tidak dapat ibu rasai. Ibu redha sepenuh hati melalui semua pengorbanan itu. Ibu menanti-nanti saat ibu muntah tidak lalu makan tanda ibu sudah berisi. Biarlah badan ini bengkak, biarlah kulit perut ibu ini merekah tanda dikau sudah membesar di dalam rahim ibu mu ini. Biarlah ibu menyekang mata membelai dikau sayangku sehingga dilewat malam. Berilah ibumu peluang untuk merasai nikmat pengorbanan ini. Kerana ibumu sayang sudah tidak lagi mampu menanggung sengsara penantian ini yang kian amat lama terasa.

Nanti di saat dikau bergerak di dalam perut ibu, di saat engkau dilahirkan akan ku kucup pipimu, jejari manismu, akan ku cium baumu, akan sentiasa ku tatap wajahmu dan akan ku pegang senantiasa tidak ku lepaskan walaupun sekelip mata. Hadirlah sayang, hadirlah di dalam hidup ibu mu ini.

Nukilan Mawarnis 10052020

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print