“Sekejap suruh kencing, sekejap suruh tahan kencing. Ni yang mana satu ni doktor? Ada yang suruh saya tahan, rasa macam nak meletop dah pundi kencing ni. Ada yang suruh saya kencing dulu. La tu bila dah kencing, suruh pula minum berbotol- botol air. Saya pun dah tak tahu nak buat yang mana satu? Cuba cerita sikit nak macam mana yang sebenarnya?.”
Begitulah antara keluhan seorang wanita apabila tiba di klinik. Seperti yang kita tahu pundi kencing berada dihadapan rahim. Oleh itu keadaan pundi kencing samada ianya penuh atau pun tidak akan memberi kesan kepada posisi rahim tersebut.
Sekiranya anda akan menjalani pemeriksaan ultrasound dalam atau juga dikenali sebagai transvaginal ultrasound, anda dikehendaki untuk mengosongkan pundi kencing. Ini adalah kerana probe transvaginal ultrasound ini akan dimasukkan terus ke dalam faraj. Imej rahim akan dapat dilihat tanpa memerlukan pundi kencing penuh. Malah sekiranya pundi kencing penuh ketika melakukan transvaginal ultrasound scan, ianya bukan sahaja menyebabkan seseorang wanita tidak selesa malah sesetengah keadaan rahim atau ovari akan sukar untuk dilihat sepenuhya kerana pundi kencing yang penuh. Dikebanyakkan klinik kesuburan atau klinik sakit wanita, transvaginal ultrasound akan digunakan.
Berbanding dengan sekiranya seseorang wanita akan melakukan scan luar atau transabdominal ultrasound scan, maka pundi kencing yang penuh adalah perlu bagi menghasilkan ‘bladder window’ agar imej rahim dapat dilihat dengan lebih jelas. Abdominal Scan kerap digunakan di klinik ibu mengandung.
Selain daripada itu sampel air kenicng juga diperlukan bagi memastikan tiada jangkitan di dalam air kencing atau gula di dalamnya. Ini diperlukan terutamanya bagi wanita yang pergi ke klinik mengandung. Untuk klinik kesuburan, sampel air kencing juga diperlukan bagi memeriksa paras hormon LH (urine LH) sebagai contoh untuk memastikan samada ovulasi berlaku.
Selain daripada itu, sesetengah prosedur di klinik kesuburan memerlukan pundi kencing penuh. Sebagai contoh prosedur embryo transfer. Pundi kencing yang penuh dapat membuatkan posisi rahim yang lebih ‘mendatar’ agar prosedur embryo transfer dapat dilakukan dengan lebih mudah. Bagi prosedur kutip telur atau Oocyte Pickup (OPU), pundi kencing yang kosong diperlukan bagi memudahkan prosedur tersebut dilakukan.
Namun begitu untuk mengelakkan kekeliruan, anda boleh bertanyakan kepada doktor atau jururawat samada sampel air kencing diperlukan atau samada anda perlu menahan kencing atau sebaliknya.