Dalam kebanyakkan situasi, sebab utama mengapa bacaan sperma rendah adalah tidak diketahui. Namun terdapat beberapa sebab mengapa bacaan sperma menjadi rendah. Ini termasuklah:
- Mempunyai testis yang tinggi dan tidak berada di dalam kantung ketika dilahirkan (Undescended Testicles).
- Masalah genetik seperti Klinefelter Syndrome. Ianya berlaku apabila seseorang bayi lelaki dilahirkan mempunyai kromosom X yang lebih, iaitu XXY dan bukan XY.
- Masalah tiub yang membawa sperma tidak wujud atau rosak atau pun tersumbat.
- Mempunyai masalah hormon (Hypogonadism).
- Penyakit kelamin seperti Chlamydia dan Gonorrhoea.
- Pembuluh darah di telur zakar bengkak (Varicocoele).
- Pembedahan yang melibatkan air pasang (hernia) dan telur zakar.
- Ubat yang diambil seperti ubat hormon testosterone atau steroid, kemoterapi, sesetengah antibiotics dan ubat murung.
- Gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, minum arak atau pengambilan dadah merbahaya seperti marijuana atau kokain.
- Mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes.
Antara salah satu langkah yang boleh diambil bagi memperbaiki bacaan sperma adalah mengamalkan gaya hidup yang sihat. Ini termasuklah berhenti merokok, tidak minum minuman beralkohol, mempunyai berat badan yang normal dan melakukan senaman.
Rawatan kesuburan yang ditawarkan bagi mereka yang mempunyai bacaan sperma yang rendah adalah bergantung kepada keputusan bacaan sperma tersebut.
- Jika keputusan menunjukkan paras hormon yang tidak normal, rawatan hormon akan diberikan untuk merangsang penghasilan sperma.
- Bagi bacaan sperma yang borderline dan pasangan baru mencuba kurang dari dua tahun, melakukan hubungan suami isteri 2- 3 kali seminggu boleh meningkatkan peluang mengandung. Namun sekiranya masih tidak berjaya mereka perlu berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.
- Mendapatkan rawatan kesuburan dalam bentuk IVF atau ICSI (Intracytoplasmic Sperm Injection) – bergantung dengan keadaan kualiti sperma yang dihasilkan. ICSI adalah satu teknik rawatan kesuburan di mana sperma yang normal akan dipilih dan disuntik terus ke dalam telur dengan menggunakan mikroskop.
Walau apa sekalipun punca mengapa bacaan sperma rendah, pasangan dinasihatkan agar segera mendapatkan khidmat nasihat pakar fertiliti agar pemeriksaan lanjut dan pelan rawatan boleh dimulakan dengan segera.