Rokok bukan sahaja akan memberi kesan kepada kesuburan lelaki dan wanita, ia juga mampu memberi kesan seterusnya kepada ibu yang mengandung dan anak yang dikandung.
Merokok meningkatkan risiko seseorang wanita untuk mengalami kandungan di luar rahim (ectopic pregnancy). Ini berlaku apabila embrio yang terhasil dari persenyawaan telur dan sperma yang sepatutnya melekat pada dinding rahim, di dapati melekat di luar rahim. Tempat yang kerap berlakunya ectopic pregnancy ini adalah di tiub fallopian. Ectopic pregnancy meletakkan kesihatan ibu di dalam bahaya. Kandungan di luar rahim boleh menyebabkan pendarahan dalaman berlaku. Kebanyakkan kandungan luar rahim berlaku di dalam tiub fallopian dan memerlukan rawatan rapi yang melibatkan pembedahan perlu dilakukan bagi kebanyakkan kes.
Dalam pada itu, perkembangan bayi di dalam kandungan akibat asap rokok juga terjejas. Di dapati saiz bayi yang terdedah dengan asap rokok adalah lebih kecil jika dibandingkan dengan bayi yang lain. Bayi yang terdedah dengan asap rokok juga mempunyai berat kelahiran yang lebih rendah. Risiko di lahirkan pramatang juga meningkat bagi bayi yang terkesan dari asap rokok.
Asap rokok juga memberi kesan kepada otak dan perparu bayi di dalam kandungan. Karbon Monoksida yang terdapat dalam asap rokok adalah tosik kepada otak, sistem saraf dan peparu bayi. Kesan ini akan memberi impak bukan sahaja ketika di dalam kandungan malah seterusnya apabila bayi dilahirkan, di dalam alam kanak- kanak dan remaja.
Pada masa yang sama, bayi yang terdedah dengan asap rokok di dalam kandungan mempunyai risiko untuk mengalami sumbing (cleft lip). Bayi yang sumbing akan mengalami kesukaran untuk menyusu, makan, mendengar dan bertutur. Bayi yang sumbing juga boleh mempunyai masalah gigi dan jangkitan telinga. Rawatan bayi yang sumbing memerlukan pembedahan dilakukan.
Bayi yang sudah dilahirkan dan terdedah kepada asap rokok mempunyai risiko untuk meninggal selalunya di dalam tidur secara tiba-tiba. Sindrom ini di namakan sebagai Sudden Infant Death Syndrome (SIDS).SIDS selalunya berlaku pada bayi yang sihat pada usia kurang dari setahun.
“Kawan saya hisap 2 kotak rokok satu hari, tapi berderet juga anak dia dan semua sihat je”, merupakan penyataan yang kerap didengar oleh kita semua. Walaupun kita tidak tahu siapakah yang terkena dengan kesan rokok ini, namun bukti statistik menunjukkan asap rokok akan memberi kesan yang buruk kepada kesuburan lelaki dan wanita serta kemampuan untuk mengandung. Rokok juga memberi ancaman kepada kandung yang selamat dan sihat kepada ibu yang mengandung dan anak yang dikandung. Maka marilah kita elakkan untuk merokok dan cuba berhenti merokok kepada yang telah merokok.
Pasangan yang ingin hamil serta ingin mendapatkan sokongan dan bantuan disaran untuk merujuk kepada doktor anda untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik untuk diri, pasangan dan keluarga anda.