Obstetrik dan ginekologi adalah bidang kepakaran perubatan yang merangkumi dua aspek iaitu bahagian kebidanan atau lebih dikenali sebagai Obstetrik (meliputi kehamilan, kelahiran anak, dan tempoh selepas bersalin) dan bahagian kesihatan wanita atau juga dikenali sebagai Ginekologi (meliputi kesihatan sistem reproduktif wanita – vagina, rahim dan ovari). Biasanya ianya disingkatkan kepada O&G.
Selepas memperolehi ijazah perubatan, seseorang doktor akan menjadi doktor pelatih selama dua tahun. Selepas itu beliau akan menjadi doktor perubatan sebelum memasuki latihan kepakaran. Program latihan kepakaran menggabungkan kedua-dua bidang Obstetriks dan Ginekologi, menyediakan pakar obstetrik-ginekologi yang berlatih untuk mahir dalam menjaga kesihatan organ reproduktif wanita dan pengurusan kehamilan. Program kepakaran ini mengambil sekurang- kurangnya empat tahun latihan.
Seterusnya bidang O&G ini juga kemudiannya mempunyai cabang pengkhususan tertentu. Di Malaysia terdapat empat cabang utama dalam bidang O&G. Cabang ini juga dikenali sebagai subkepakaran atau subspecialty. Latihan dibidang subkepakaran ini mengambil masa sekurang- kurangnya tiga tahun. Empat bidang subkeparan ini termasuklah bidang Urogynaecology, Gynaeoncology, Fetomaternal dan juga Reproductive Medicine.
- Urogynaecology: Adalah bidang yang memberi rawatan khususnya kepada masalah pundi kencing dan otot- otot pinggul (pelvic floor).
- Gynaeoncology: Adalah bidang yang memberi rawatan kepada penyakit kanser yang melibatkan rahim, ovari dan pangkal rahim (serviks).
- Fetomaternal: Adalah bidang yang memberi kepakaran khususnya kepada kesihatan bayi di dalam kandungan serta ibu yang hamil.
- Reproductive Medicine: Adalah bidang kepakaran yang memberi perhatian khususnya dalam isu ketidaksuburan yang merangkumi sistem reproduktif lelaki dan wanita.
Ramai yang beranggapan bahawa kesihatan payudara juga di bawah bidang O&G. Ini mungkin kerana O&G dikaitkan dengan kesihatan wanita. Sebaliknya, kesihatan payudara adalah di bawah bidang doktor pakar bedah (Surgery).
Sungguh luas ilmu Allah. Tidak ada seorang pun yang akan mengetahui segala – galanya selain daripadaNya. “Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.” (Surah al-Kahfi, ayat 109). Dalam merawati dan memberi rawatan yang terbaik, maka tidak hairanlah jika seseorang wanita atau pesakit itu akan dirujuk kepada mereka yang mempunyai kepakaran yang lebih akan sesuatu perkara.