Warning: Undefined array key "options" in /var/www/wp-content/plugins/elementor-pro/modules/theme-builder/widgets/site-logo.php on line 93
RIZAB TELUR WANITA » Laman Fertiliti Kernamu
qtq80-JTAfsc

RIZAB TELUR WANITA

Rizab telur wanita adalah istilah yang digunakan bagi menentukan keupayaan ovari menyediakan seltelur atau folikel yang mampu disenyawakan untuk kehamilan berlaku.

Ujian rizab telur wanita adalah salah satu ujian asas yang dilakukan oleh pusat kesuburan untuk memberi maklumat bagaimanakah kilang telur seseorang wanita itu akan memberi respon apabila ianya dirangsang menggunakan hormon ketika menerima rawatan kesuburan. Ujian ini akan dapat membantu doktor dalam membuat keputusan akan berapakah dos hormon perlu diberi bagi mendapatkan respon yang optimal. Ini adalah penting agar rangsangan yang diberikan tidak begitu tinggi yang mana boleh mengakibatkan komplikasi berlaku, dan pada masa yang sama rangsangan yang diberikan tidak begitu rendah bagi memastikan terdapat jumlah bilangan folikel telur yang mencukupi bagi menjalani rawatan kesuburan.

Terdapat beberapa ujian yang boleh dilakukan bagi menentukan rizab telur wanita. Ini termasuklah ujian darah dan ujian imbasan bunyi atau ultrasound. Ujian ini digunakan untuk mengira bilangan folikel yang terdapat pada kilang telur pada bulan tersebut. Ujian darah juga boleh dilakukan untuk mengukur paras hormon Follicle Stimulating Hormone, FSH atau ujian Serum Ante-Mullerien Hormone, AMH.

FSH dihasilkan di otak akan memberi rangsangan kepada kilang telur untuk menghasilkan folikel pada setiap bulan. Pada setiap bulan paras hormon FSH ini dihasilkan adalah cukup untuk merangsang hanya satu folikel untuk terus berkembang dan menjadi matang. Namun begitu paras FSH berubah mengikut kitaran haid. Untuk mengukur paras FSH yang tepat, ujian darah perlu dilakukan pada awal kitaran haid.

Berbeza dengan AMH, AMH adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh folikel yang sedang membesar di dalam setiap kitaran haid. Oleh kerana itu, ujian AMH memberi ukuran secara langsung terhadap bilangan folikel yang sedang membesar. Paras bacaan yang rendah memberi indikasi akan rizab telur yang kurang. Paras bacaan AMH yang tinggi boleh menunjukkan seseorang itu mungkin mempunyai Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS). Paras AMH tidak berubah mengikut kitaran haid. Oleh itu ianya boleh dilakukan pada bila- bila masa di dalam kitaran haid.

Imbasan bunyi dalaman dilakukan untuk mengira jumlah folikel yang terdapat bagi setiap bulan. Imbasan dalaman memberi imej yang jauh lebih jelas apabila dibandingkan dengan imej yang terhasil apabila menggunakan imbasan bunyi yang dilakukan di luar seperti di atas perut. Bacaan Antral Follicle Count (AFC) dapat dilakukan dengan menggunakan alat imbasan bunyi dalaman. Kebanyakan pusat kesuburan menggunakan AMH dan AFC untuk mengetahui rizab telur seseorang wanita. Manakala sesetengah tempat hanya menggunakan salah satu, samada AMH atau AFC.

AMH dan AFC adalah ujian yang baik untuk mengetahui akan rizab telur wanita. Namun begitu paras hormone FSH yang tinggi juga berlaku bagi wanita yang mempunyai rizab telur yang rendah.

Bagaimanapun, umur seseorang wanita juga memainkan peranan yang penting. Secara umumnya, wanita yang sudah berusia dan didapati mempunyai rizab telur yang normal akan mempunyai peratus kejayaan yang lebih rendah dari wanita muda dan mempunyai rizab telur yang rendah. Ini adalah kerana kualiti telur wanita berkait rapat dengan umur seseorang wanita tersebut. Kualiti telur merosot dengan umur yang meningkat.

Perlu ditekan bahawa ujian rizab telur ini digunakan sebagai panduan bagi rawatan kesuburan. Ujian rizab telur ini tidak memberi sebarang indikasi akan tahap kesuburan semulajadi seseorang wanita. Ramai wanita yang mempunyai rizab telur yang rendah masih mampu mengandung tanpa sebarang masalah. Begitu juga ramai wanita yang mempunyai rizab telur yang normal mengambil masa dan memerlukan rawatan kesuburan untuk mengandung. Oleh itu ujian rizab telur yang normal tidak semestinya menjamin seseorang itu mengandung. Begitu juga sekiranya keputusan rizab telur yang rendah tidak semestinya bermaksud seseorang wanita itu akan mengalami masalah mengandung dan memerlukan rawatan kesuburan.

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print

1 thought on “RIZAB TELUR WANITA”

Comments are closed.