Kajian dari Denmark menunjukkan bahawa wanita yang mempunyai rizab telur yang rendah berisiko mengalami penyakit kronik seperti sakit jantung (Kadiovaskular) serta tulang rapuh (Osteoporosis).
Kajian ini melibatkan hampir 20,000 wanita yang berusia kurang dari 37 tahun menjalani rawatan IVF antara tahun 1995 dan 2014. Hasil dari kajian mendapati wanita yang mempunyai bilangan telur yang sedikit selepas dirangsang dengan hormon, berisiko mengidap penyakit kronik di kemudian hari. Ia menunjukkan ovari yang menghasilkan bilangan telur yang sedikit mengalami ‘proses penuaan awal’. Wanita yang ovarinya mengalami proses penuaan awal ini berisiko mengalami sakit jantung dan tulang rapuh.
Wanita yang ovarinya mengalami proses penuaan awal berisiko untuk menopos pada usia jauh lebih muda. Oleh itu mengenal pasti wanita yang berisiko untuk menopos awal boleh dilakukan. Langkah inisiatif pencegahan awal boleh diambil terutamanya menggalakkan amalan gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko penyakit kronik dihadapi oleh mereka.
Ini adalah kajian pertama yang dibuat dengan menggunakan bilangan telur yang dikutip sebagai ukuran pada proses penuaan ovari. Wanita yang telah menghasilkan kurang dari enam telur dianggap sebagai mereka yang melalui ‘penuaan awal ovari’. Respon yang normal adalah sekurang-kurangnya lapan telur terangsang. Oleh itu, jumlah telur yang diambil digunakan sebagai penanda rizab telur.
Penyakit kronik yang dikaji termasuklah penyakit kardiovaskular, osteoporosis, diabetes , barah, dan kematian awal. Hasil kajian menunjukkan bahawa wanita yang mempunyai penuaan awal ovari mempunyai peningkatan risiko keseluruhan (sebanyak 26%) jika dibandingkan dengan mereka yang mempunyai respons telur yang normal. Risiko yang lebih tinggi didapati untuk penyakit kardiovaskular (39% lebih tinggi) dan osteoporosis (lebih dari dua kali ganda).
Pengkaji mengatakan bahawa, walaupun punca di sebalik penuaan ovari masih tidak diketahui sepenuhnya, data dari kajian ini menunjukkan bahawa wanita muda dengan penuaan awal ovari mempunyai peningkatan risiko penyakit kronik. Ianya juga menunjukkan bahawa rizab telur yang rendah menjadi penanda masalah kesihatan akan datang. Oleh itu, langkah pencegahan seperti perubahan gaya hidup atau penggunaan Hormone Replacement Therapy (HRT) perlu diambil bagi mengurangkan risiko kesihatan bagi wanita yang menopos lebih awal.
Semoga perkongsian ini bermanfaat.