Warning: Undefined array key "options" in /var/www/wp-content/plugins/elementor-pro/modules/theme-builder/widgets/site-logo.php on line 93
RAHIM TERBALIK » Laman Fertiliti Kernamu
qtq80-O4iTFg

RAHIM TERBALIK

“Doktor betul ke rahim saya terbalik”

“Melalui scan yang kita buat tadi, nampak rahim puan mengadap ke belakang atau lebih dikenali sebagai retroverted”.

“Maksudnya saya kena bedah ke doktor?”

“Eh..kenapa pula nak bedah? Puan tidak ada apa- apa symptom kenapa nak bedah?”

“Oh sebab saya baca, kalau rahim terbalik maka saya akan sukar hamil. Ada yang menyatakan kena bedah betulkan kedudukan rahim dahulu baru boleh mengandung”.

“Erm rahim terbalik atau juga dikenali sebagai retroverted uterus ini sebenarnya adalah variasi yang ada. Kalau kita lihat dari 5 wanita, mungkin seorang daripada mereka mempunyai retroverted uterus. Ianya seperti ada orang hidung mancung ada orang hidung tak mancung sangat. Macam itu juga rahim. Rahim terbalik tidak semestinya akan menganggu fungsi rahim tersebut”.

1 dari 5 wanita mempunyai rahim terbalik.

“Maksudnya ianya hanyalah perbezaan posisi sahaja. Maksudnya saya memang dilahirkan macam ini”.

“Ya betul tu puan. Maksudnya memang sejak dilahirkan begini. Sebab puan tidak ada apa- apa penyakit. Namun begitu, bagi sesetengah wanita posisi rahim boleh terganggu sekiranya terdapat parut berlaku akibat endometriosis, jangkitan atau parut selepas pembedahan. Begitu juga dengan ketumbuhan fibroid, sekiranya fibroid itu besar ia boleh menganggu bentuk rahim tersebut. Maka sekiranya inilah sebab mengapa kesukaran kehamilan berlaku, maka rawatan perlu diberikan”.

“Oh. Maksudnya rawatan hanya pada mereka yang mempunyai sebab mengapa rahim tidak berada dalam kedudukan normal ya doktor?”

“Ya betul. Dan bukan semua rawatan rahim terbalik ini memerlukan pembedahan. Masyarakat kena faham dalam rawatan kesuburan, fokus yang utama adalah untuk membantu wanita hamil. Dan bukannya untuk mengubah posisi rahim yang dikebanyakkan situasi adalah dianggap variasi yang normal”.

Rahim terbalik adalah variasi normal

Diaggarkan 1 dari 5 wanita mempunyai rahim terbalik (retroverted uterus). Retroverted uterus berlaku apabila rahim condong ke belakang. Di kebanyakkan wanita, rahim akan condong kehadapan kearah pundi kencing. Namun ada juga yang mempunyai rahim yang condong ke belakang, kearah usus besar. Ini adalah variasi normal. Sebagaimana setiap individu mempunyai bentuk muka yang berbeza, begitu jugalah rahim.

Sebelum ini ramai yang berpendapat bahawa rahim yang condong ke belakang, atau retroverted akan sukar untuk hamil. Ini adalah tidak benar. Kajian menunjukkan mempunyai rahim yang condong ke belakang tidak akan menyukarkan kehamilan. Tidak kiralah sama ada rahim condong ke hadapan atau ke belakang, sperma masih mampu bergerak di dalam rahim dan terus ke tiub fallopio untuk bersenyawa dengan telur.

Ianya variasi kejadian yang normal. Seperti ada orang hidung mancung ada juga hidung tak seberapa mancung

Bolehkah rahim terbalik ini disebabkan oleh penyakit lain?

Bagi segelintir wanita, mereka mempunyai rahim terbalik disebabkan oleh penyakit tertentu yang menyebabkan berlakunya parut dalaman (adhesions) akibat dari penyakit tersebut. Ini termasuklah penyakit endometrisosis iaitu sejenis radang di dalam pelvis wanita yang boleh menyebabkan parut berlaku. Begitu juga dengan jangkitan di pelvis (Pelvic Inflammatory Disease, PID). Selain daripada itu fibroid dan pembedahan di pelvis sebelum ini boleh juga meningkalkan parut sekaligus menukarkan posisi rahim tersebut. Parut yang terbentuk menyebabkan organ di pelvis termasuklah rahim melekat dan mengambil posisi tertentu sehingga ianya tidak lagi berada dalam kedudukan yang normal. Sekiranya ini berlaku, maka rawatan kesuburan adalah tertumpu kepada penyebab berlakunya lekatan atau parut tersebut dan bukannya membetulkan kedudukan rahim tersebut.

Kesimpulan yang dapat dibuat di sini adalah, rahim terbalik bukanlah suatu jenis penyakit. Rahim terbalik adalah variasi kejadian yang normal. Rahim terbalik bukanlah penyebab kesukaran untuk hami. Wanita yang mempunyai rahim terbalik akibat endometriosis atau penyakit yang lain, rawatan akan ditumpukan untuk merawat penyakit tersebut. Namun begitu sekiranya terdapat sebarang persoalan atau keraguan anda digalakkan untuk bertanyakan dan berbincang dengan doktor pakar fertiliti. Semoga segala urusan dan usaha anda dipermudahkanNya.

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print