Warning: Undefined array key "options" in /var/www/wp-content/plugins/elementor-pro/modules/theme-builder/widgets/site-logo.php on line 93
PEMERIKSAAN TIUB FALLOPIAN » Laman Fertiliti Kernamu
qtq80-y3etWw

PEMERIKSAAN TIUB FALLOPIAN

Tiub Fallopian memainkan peranan yang penting untuk seseorang wanita itu mengandung secara semulajadi. Tiub fallopian adalah suatu struktur yang berada di hujung rahim. Ianya berfungsi sebagai tempat di mana telur berjumpa dengan sperma. Telur yang dilepaskan selepas proses ovulasi akan memasuki tiub fallopian. Sperma akan berjumpa dengan telur di dalam tiub fallopian dan di situlah proses persenyawaan berlaku. Setelah bersenyawa, embrio ini akan bergerak sambil ianya membahagi kepada dua sel, empat sel dan seterusnya, kearah rahim. Di rahim, embrio akan menempel di dinding rahim dan seterusnya menjadi kandungan.

Sekiranya tiub fallopian tersumbat, ianya akan memberi kesan kepada kesuburan seseorang wanita. Maka pemeriksaan tiub fallopian dapat dilakukan sebagai salah satu pemeriksaan saringan asas bagi pasangan yang ingin menimang cahaya mata. Terdapat beberapa cara bagi pemeriksaan saringan dilakukan. Ini termasuklah samada melalui ujian Hysterosalphingography (HSG), Hysterosalpingo-contrast-ultrasonography (HyCoSy) ataupun melalui pembedahan kecil yang dikenali sebagai Laparascopy and Dye.

Wanita yang berisiko rendah untuk mempunyai tiub tersumbat, boleh memilih samada melakukan ujian saringan HSG ataupun HyCoSy. Namun begitu wanita yang mempunyai risiko seperti sejarah mengandung luar rahim sebelum ini atau mempunyai jangkitan pelvis atau melalui pembedahan di bahagian perut /pelvis, mempunyai endometriosis adalah antara yang berisiko digalakkan untuk melakukan Laparascopy and Dye untuk memeriksa samada tiub fallopian tersumbat.

Pemeriksaan HSG adalah salah satu prosedur yang dilakukan di jabatan radiologi (Xray). Ianya dilakukan di awal kitaran haid, di mana alat spekulum digunakan, tiub kecil akan dimasukkan dipangkal rahim dan pewarna (dye) akan dimasukkan melalui tiub tersebut dan akan mewarnai keadaan dalam rahim dan kedua- dua tiub fallopian. Sinaran Xray akan dipancarkan pada masa yang sama dan imej akan diambil. Terdapat risiko jangkitan ketika HSG dilakukan. Oleh itu, ujian swab memastikan tiada kuman seperti Chlamydia atau Gonorrhoea perlu dilakukan sebelum HSG dijalankan. HyCoSy adalah sama seperti HSG, cuma alat imbasan bunyi (ultrasound) di gunakan di dalam HyCoSy dan bukannya Xray.

Pembedahan kecil, laparoscopy and dye adalah pembedahan yang menggunakan skop kamera yang dilakukan di dalam dewan bedah. Pesakit akan diberikan ubat tidur sepenuhnya ketika pembedahan dijalankan. Parut sebesar 1cm akan dibuat di kawasan pusat dan perut akan dipenuhi dengan gas agar ianya kembung bagi memudahkan pemantauan dilakukan. Kamera kecil akan dimasukkan pada parut tersebut. Satu lagi parut akan dibuat di perut selalunya pada ukuran yang lebih kecil iaitu 0.5cm bagi membolehkan alat lain digunakan bagi membantu doktor untuk memeriksa tiub fallopian. Bahan pewarna akan digunakan untuk mewarnai tiub fallopian. Sekiranya tiub fallopian tidak tersumbat, maka pewarna kelihatan di hujung tiub fallopian. Teknik pembedahan laparoscopy ini dilakukan bagi wanita yang mempunyai lebih risiko dan bagi mereka yang memerlukan rawatan pembedahan pada masa yang sama seperti endometriosis atau sekiranya terdapat tiub fallopian yang melekat atau membengkak akibat jangkitan kuman. Ianya mempunyai risiko komplikasi yang lebih jika dibandingkan dengan HSG atau HyCoSy. Ini termasuklah risiko jangkitan, pendarahan dan trauma pada organ berdekatan sepeti pundi kencing, usus dan pembuluh darah. Namun perlu dinyatakan di sini, komplikasi dari laparoscopy ini jarang berlaku.

Setiap wanita adalah berbeza. Maka ujian saringan tiub fallopian yang sesuai perlu dibincang bersama dengan doktor terlebih dahulu.

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print