Warning: Undefined array key "options" in /var/www/wp-content/plugins/elementor-pro/modules/theme-builder/widgets/site-logo.php on line 93
PCOS & RAWATAN KESUBURAN » Laman Fertiliti Kernamu
qtq80-KwTV7J

PCOS & RAWATAN KESUBURAN

Polycystic Ovarian Syndrome atau juga dikenali sebagai PCOS adalah antara diagnosis yang biasa jumpa apabila pasangan suami isteri datang ke klinik kesuburan. Dianggarkan 1 dari 5 wanita mengalami PCOS.

Antara tanda- tanda PCOS termasuklah haid yang tidak menentu, kulit yang berminyak dan berjerawat, masalah berat badan, rambut yang tumbuh di muka, dada atau bahagian belakang badan serta ketidaksuburan.

Ramai wanita yang mula mengetahui mereka mempunyai PCOS apabila terdapat kesukaran untuk mengandung. Wanita yang mempunyai PCOS mengalami kesukaran mengandung kerana ovulasi tidak berlaku. Ada juga yang ovulasi berlaku tetapi pada waktu yang tidak menentu.

Oleh sebab itu wanita yang mempunyai PCOS boleh mengalami kesukaran untuk mengandung. Rawatan kesuburan bagi wanita yang mengalami PCOS termasuklah ubat kesuburan membantu ovulasi berlaku seperti ubat Clomiphene Citrate atau lebih dikenali sebagai Clomid. Ubat Metformin atau Glucophage juga boleh digunakan bagi membantu menurunkan paras gula bagi wanita yang mengalami PCOS. Sekiranya ubat Clomid tidak berkesan, ubat suntikan hormon akan digunakan bagi merangsang pembesaran telur.  

1 dari 5 wanita mengalami PCOS

Terdapat beberapa cabaran bagi mereka yang menghadapi PCOS ketika menerima rawatan kesuburan. Walaupun terdapat banyak bilangan rizab telur di dalam ovari namun telur- telur tersebut tidak membesar, tidak dilepaskan melalui ovulasi dan tersimpan di dalam ovari tersebut.

Antara cabaran yang berlaku bagi mereka yang mempunyai PCOS dan menjalani rawatan kesuburan adalah

  • Telur tidak terangsang oleh ubat stimulasi yang diberi.

Sekiranya ini berlaku, maka dos ubat perlu dinaikkan. Pembesaran telur seterusnya akan dipantau. Ada yang bertanya kenapa tidak diberi dari awal dos yang tinggi? Dengan dos yang tinggi, maka akan lebih banyak telur akan dirangsang. Maka risiko kandungan kembar akan menjadi lebih tinggi.

  • Telur terangsang, tetapi mengambil masa yang lebih panjang untuk membesar.

Ada juga apabila saringan ultrasound dibuat, telur membesar tetapi memakan masa yang lebih lama untuk membesar. Selalunya telur akan membesar pada kadar 1- 2mm pada setiap hari. Namun begitu, bagi wanita yang mempunyai PCOS, telur akan mengambil masa yang lebih lama untuk membesar. Oleh itu kitaran haid wanita yang mempunyai PCOS juga menjadi lebih panjang.  

  • Telur- telur itu akan semuanya membesar menyebabkan risiko terlebih rangsangan.

Telur yang banyak berada dalam ovari seolah olah mempunyai satu garisan di mana sekiranya rangsangan yang diberikan melebihi garisan ini, KESEMUA telur ini akan memberi respon. Kesemuanya akan membesar. Apabila kesemua telur itu membesar ini boleh mendatangkan risiko hyperstimulation atau juga dikenali sebagai OHSS (Ovarian Hyperstimulation Syndrome). 

  • Telur yang terangsang kebanyakkannya tidak matang

 Apabila sudah dirangsang, maka bilangan telur yang membesar meningkat. Sekiranya rawatan yang diterima adalah IVF, ketika telur dikutip atau juga dikenali sebagai OPU (Oocyte Pick Up) maka banyaklah bilangan telur tersebut. Ada yang 10, 15, 20 telur dikutip. Namun begitu, walaupun bilangan telurnya banyak tidak semua telurnya adalah matang. Hanya telur yang matang sahaja yang boleh disenyawakan dengan sperma.

  • Telur membesar tidak sekata.

Ada juga yang telurnya menerima rangsangan dan terkesan pada kadar yang berbeza. Ada yang sudah besar dan boleh dikutip melalui OPU, ada pula yang masih kecil dan sekiranya OPU dibuat terlalu awal dikhuatiri telur belum matang. Maka ujian darah melihat paras hormon dan pertimbangan akan dibuat untuk menentukan bilakah waktu yang paling optima untuk OPU dilakukan.

  • Risiko OHSS. Menyebabkan langkah freeze all perlu diambil.

Jika terdapat banyak telur yang membesar dan dikutip, wanita tersebut mempunyai risiko OHSS. Risiko OHSS akan menjadi lebih tinggi sekiranya embrio di letakkan semula ke dalam rahim pada kitaran yang sama, maka risiko untuk OHSS berlaku akan meningkat. Risiko ini akan terus meningkat sekiranya wanita berjaya mengandung. Oleh itu untuk menurunkan risiko OHSS maka, embrio yang terbentuk akan dibekukan atau lebih dikenali sebagai langkah ‘Freeze All’. Embrio ini akan hanya di letakkan semula ke dalam rahim pada kitaran yang seterusnya.

  • Risiko apabila mengandung.

Apabila wanita yang mengalami PCOS mengandung, mereka juga berisiko mengalami keguguran, darah tinggi, Pre-Eclampsia dan kencing manis ketika mengandung. Berikut adalah antara cabaran yang boleh dilalui oleh wanita yang mempunyai PCOS. Walaubagaimanpun kebanyakkan wanita yang mengalami PCOS berjaya mengandung tanpa sebarang masalah. Cabaran dan risiko ini dapat dikurangkan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mempunyai berat badan yang normal.

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print