Warning: Undefined array key "options" in /var/www/wp-content/plugins/elementor-pro/modules/theme-builder/widgets/site-logo.php on line 93
KENAPA IVF BUKAN 100% DIJAMIN BERJAYA? » Laman Fertiliti Kernamu
qtq80-OOHKWz

KENAPA IVF BUKAN 100% DIJAMIN BERJAYA?

“Doktor, kalaulah IVF ni cara yang paling baik yang ada, kenapa ianya bukan 100% berkesan? Dahlah kosnya mahal, kata IVF ni guna teknik canggih terkini, tetapi kenapa bukan 100% berjaya? Kalau ia pun kenapa tak 80 ke 90% berkesan macam perubatan yang lain?”

“Betul tu puan. IVF bukan 100% bukan juga 80- 90% berjaya. Paling baik pun dalam lingkungan 30- 40% sahaja yang berjaya menimang cahaya mata”.

“Tapi kenapa doktor?”.

“Sebenarnya banyak perkara yang berlaku luar dari kawalan kita. Untuk IVF berjaya banyak peringkat perlu dilalui dengan berjaya.”

“Maksud doktor?”

“Untuk IVF berjaya, telur yang dirangsang perlu membesar dan matang. Apa yang kita lihat bila kita buat ultrasound kita nampak telur atau folikel membesar. Kita tahu dia mungkin matang atau tidak bergantung pada saiz telur tersebut. Kalau dah cukup besar, kita akan kutip telur tersebut. Tapi kita tidak tahu apakah kualiti telur tersebut. Adakah telur yang besar dan mungkin matang itu mempunyai kualiti yang bagus ataupun tidak, kita tidak boleh pastikan”.

“Selepas itu kita perlukan sperma. Ujian sperma yang kita jalankan adalah melihat pada bilangan sperma, pergerakkan dan bentuk sperma tersebut. Tapi kita juga tidak tahu apakah kualiti sperma tersebut”.

“Untuk mendapatkan embrio yang berkualiti, ianya perlulah dihasilkan oleh telur dan sperma yang berkualiti.”

“Sebab itu kalau kita tengok, walaupun kita dah suntik sperma ke dalam telur melalui prosedur ICSI, tetapi tidak semua akan bersenyawa. Kalau pun bersenyawa, tidak semua embrio akan membahagi dengan baik seperti yang kita harapkan. Ada embrio membahagi pada awalnya kemudian berhenti mebahagi. Ada yang juga membahagi dengan cara yang tidak normal”.

“Tetapi bukankah embrio itu dah diberi gred untuk pastikan embrio mana yang terbaik?”

..seperti pertandingan ratu cantik…kita pilih yang mana paling cantik..tetapi kita tidak tahu samada ianya sihat atau tidak..

“Betul tu encik. Tapi gred yang kita bagi adalah berdasarkan bentuk luaran embrio tersebut. Maksudnya kita lihat struktur luar embrio. Kita tidak tahu sama embrio yang bentuknya normal dari luaran, adakah ianya benar- benar sihat dan berkualiti. Sebagai contoh seperti pertandingan ratu cantik, kita pilih mana yang paling cantik. Tapi yang paling cantik tidak semestinya yang paling sihat”.

“Bagaimana pula dengan ujian genetik kepada embrio tersebut?”

“Ya. Ujian genetik kepada embrio tersebut boleh memberikan maklumat lebih mengenai embrio. Embrio yang mana yang mempunyai kandungan genetik yang normal, ianya boleh meningkatkan peratus mengandung apabila embrio yang mempunyai kandungan genetik yang normal diletakkan semula ke dalam rahim. Namun ianya tetap bukan 100% dijamin akan berjaya.”

“Tetapi doktor, kalau embrio dah disaring mempunyai genetik yang normal, apalagi yang masih bukan dalam kawalan kita?”

“Persoalan yang selanjutnya ialah, penempelan embrio pada dinding rahim. Bagaimana kita boleh tahu samada embrio ini boleh menempel dan seterusnya berjaya membahagi dan membesar menjadi kandungan. Kalau kita tengok ilmu sains pada proses penempelan ini masih lagi banyak lagi yang kita tidak ketahui. Embrio ini seoalah- olah ada ‘komunikasi’ dengan sel- sel di dinding rahim bagi membolehkan penempelan berlaku. Ianya perlulah berjaya ‘melekat’ dan ‘diterima’ oleh dinding rahim tersebut. Apa yang kita lakukan sebenarnya hanyalah melihat kepada ketebalan dinding rahim tersebut dan letakkan embrio pada hari tertentu bergantung pada hari embrio dibekukan.”

“Ada tak apa- apa ujian yang lebih boleh kita buat untuk mengetahui bila waktu yang sesuai untuk transfer?”

“Ada juga beberap pilihan ujian yang boleh kita buat untuk kita ketahui bilakah waktu yang sesuai. Ujian ini melibatkan sampel sel dinding rahim diambil dan dilihat bilakah waktu yang sesuai, atau yang dikatakan sebagai ‘window period’. Dengan maklumat ini embrio akan di transfer dalam tempoh ‘window period’ tersebut”.

“Ini pun bukan 100% ya doktor?”

“Betul tu, ini pun bukan 100%.”    

“Teknik rawatan kesuburan ini sebenarnya menunjukkan bertapa kerdilnya kita sebagai manusia. Ada Sang Pencipta yang Agung. Walaupun sudah banyak yang kita tahu, banyak lagi yang masih kita tidak tahu. Sebenarnya ini semua menunjukkan bertapa besarnya kuasa Allah. Dialah sebaik-baik Pencipta, Maha mengetahui lagi Maha berkuasa.”

“Oleh yang begitu bagi mereka yang menerima rawatan kesuburan perlu tahu yang rawatan ini bukanlah seperti rawatan demam selsema atau penyakit yang lain. Ada yang bernasib baik mendapat rezeki hanya selepas satu rawatan. Ada pula, malah ramai lagi yang perlu membuat rawatan berkali- kali sehingga berjaya. Segala usaha yang kita buat adalah ikthiar kita sebagai hambaNya. Selebihnya perlu diserahkan pada Allah yang Maha Kuasa”.

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print