Warning: Undefined array key "options" in /var/www/wp-content/plugins/elementor-pro/modules/theme-builder/widgets/site-logo.php on line 93
KEGUGURAN DI AWAL KANDUNGAN » Laman Fertiliti Kernamu
qtq80-BIBz6o

KEGUGURAN DI AWAL KANDUNGAN

Keguguran adalah suatu musibah yang boleh berlaku kepada mana- mana wanita yang hamil tidak kiralah samada wanita tersebut mengandung secara normal atau melalui rawatan kesuburan. Ia semestinya suatu pengalaman yang pahit bagi mana- mana pasangan yang menginginkan cahaya mata.

Apatah lagi apabila ujian kehamilan menunjukkan tanda positif pada awalnya setelah bertungkus lumus akur dengan segala seribu macam pantang larang ketika melalui rawatan kesuburan. Namun semua usaha itu luluh pada satu waktu yang menunjukkan isteri mengalami keguguran. Punahlah segalanya. Berlenangan air mata. Semuanya kini suram tidak lagi bermaya. Ujian ini semestinya amat berat.

Apakah Keguguran Di Awal Kandungan?

Keguguran di awal kandungan ditakrifkan kegagalan kehamilan pada tiga bulan pertama. Kebanyakkan wanita mengalami pendarahan di awal kandungan. Namun ada yang tidak mempunyai apa- apa tanda keguguran. Sekiranya ini berlaku, keguguran dikesan ketika melakukan ultrasound.

Ujian untuk menentukan kehamilan selalunya dilakukan untuk melihat samada terdapat hormon mengandung samada di dalam air kencing atau darah. Ianya boleh dilakukan 10- 14 hari selepas rawatan kesuburan dilakukan. Sekiranya ianya positif, pasangan akan diberikan temujanji untuk ultrasound awal dilakukan.

Pasangan yang datang untuk membuat Ultrasound scan buat kali pertama seawal enam atau tujuh minggu kandungan, selalunya perlu diterangkan apakah yang akan dilihat apabila alat imbasan tersebut digunakan.

Sekiranya ultrasound dilakukan pada enam minggu usia kandungan, kantung kandungan dapat dilihat. Sekiranya dilakukan pada tujuh minggu usia kandungan, saiz bayi dapat diukur dan degupan awal jantung bayi akan kelihatan.

Sekiranya ini tidak dilihat ketika melakukan ultrasound scan pada usia kandungan tertentu, maka ultrasound scan selalunya akan diulang semula dalam masa seminggu dari hari tersebut. Namun sekiranya tidak dapat perubahan atau pengiraan menunjukkan keguguran, maka keputusan scan akan digunakan untuk membuat diagnosis.   

1 dari 4 wanita yang hamil akan mengalami keguguran

Mengapakah keguguran berlaku?

Semestinya ini adalah persoalan pertama yang bermain di fikiran. Kebanyakkan situasi, sebab mengapa keguguran berlaku, ianya tidak dapat dipastikan mengapa. Namun antara sebab utama mengapa berlakunya keguguran adalah disebabkan faktor kromosom atau baka yang ada pada bayi. Sekiranya bayi tersebut tidak mempunyai jumlah kromosom yang normal, ianya tidak sihat untuk terus membesar dan kandungan akan keguguran.

Apakah risiko mendapat keguguran?

Sekiranya dilihat pada statistik, keguguran adalah perkara yang selalu berlaku. Jika terdapat empat wanita yang mengandung, satu dari wanita tersebut akan menghadapi keguguran. Ianya biasa berlaku namun jarang dibincangkan atau diceritakan. Maka wanita yang mengalami keguguran merasakan terasing atau keseorangan. Disamping itu, banyak keguguran berlaku tanpa seseorang wanita itu perasan yang beliau mengandung atau sebelum waktu haid seterusnya tiba.

Namun begitu risiko keguguran bertambah megikut beberapa faktor berikut:

  • Faktor usia wanita: pada usia 30 tahun, risiko keguguran adalah 20%, manakala pada usia wanita 40 tahun, risiko keguguran adalah setinggi 50%.
  • Keadaan kesihatan. Penyakit kencing manis yang tidak dikawal baik meningkatkan risiko keguguran.
  • Faktor gaya hidup. Merokok, minum alkohol dan berat badan berlebihan meningkatkan risiko keguguran.

Sekiranya terdapat pendarahan atau sakit perut..

Pendarahan di awal kandungan tidak semestinya bermaksud keguguran. Ramai wanita mengalami pendarahan di awal kandungan namun kandungannya adalah normal. Ada juga wanita yang tidak mempunyai sebarang apa- apa tanda namun selepas itu mendapati kandungannya mengalami keguguran.

Sekiranya terdapat pendarahan, seseorang wanita bolehlah diperiksa oleh doktor bagi mendapatkan kepastian.

Sekiranya keguguran terjadi, apakah yang boleh dilakukan?

Kebanyakan pasangan akan mula berbincang mengenai apakah pilihan yang ada setelah keguguran berlaku. Pasangan boleh memilih samada ingin membiarkan proses keguguran berlaku dengan sendirinya, atau mengambil ubat membantu proses keguguran berlaku atau melakukan pembedahan kecil atau lebih dikenali sebagai cuci rahim (Dilatation and Curettage, D&C).

Keguguran berlaku dengan sendirinya (Conservative Management).

Pilihan ini adalah pilihan yang tidak menggunakan apa- apa ubat atau prosedur. Sebaliknya ianya menunggu agar darah atau ketulan tisu keluar dari rahim dengan sendiri. Seramai 50 dari 100 wanita yang memilih untuk membiarkan keguguran ini berlaku dengan sendirinya berjaya.  Selebihnya memerlukan ubat atau prosedur D&C dilakukan. Kebaikkan pilihan ini adalah ianya tidak memerlukan apa- apa intervensi dan ianya ‘lebih natural’. Namun wanita yang memilih cara ini perlu mengetahui ianya boleh mengambil masa yang panjang dan tidak dapat dijangka bilakah proses ini akan berlaku dan bilakah ianya akan berakhir. Sebagai contoh wanita boleh mempunyai pendarahan sedikit dan berterusan berhari- hari serta sakit perut yang datang tidak menentu. Selalunya temujanji doktor akan diulang semula dalam tempoh dua minggu lagi bagi melihat semula keadaaan wanita tersebut. Sekiranya masih belum berakhir, ada yang masih mahu menunggu, ada yang berubah fikiran dan menukar cara samada mengambil ubat atau melakukan prosedur D&C.

Pengambilan Ubat

Pilihan ini melibatkan wanita mengambil ubat samada berbentuk ubat makan atau ubat yang dimasukkan ke dalam faraj. Peratus kejayaannya adalah 85%. Ubat ini bertindak agar pangkal rahim mebuka dan tisu keguguran dapat keluar dari rahim. Selepas beberapa jam pengambilan ubat ini, wanita boleh mengalami sakit perut atau senggugut dan pendarahan. Ubat tahan sakit boleh juga diambil pada waktu yang sama. Risiko pengambilan ubat ini termasuklah pendarahan yang banyak atau tisu keguguran masih ada dalam rahim yang memerlukan prosedur D&C. Walaubagaimanapun tidak semua hospital di Malaysia menawarkan perkhidmatan pengambilan ubat ini.

Prosedur D&C

Ini adalah sebuah prosedur atau pembedahan kecil yang dilakukan di dewan bedah. Wanita akan diberi ubat tidur atau ubat tahan sakit separuh badan (spinal anaesthesia) ketika prosedur ini dijalankan. Dari 100 wanita yang melakukan prosedur ini seramai 95 melalui prosedur ini dengan jayanya. Apa yang berlaku ketika prosedur dibuat adalah tisu keguguran tersebut akan dikeluarkan dari rahim. Apa yang baik dengan prosedur ini adalah ianya boleh dirancang dan mengambil masa yang singkat serta peratusan ianya berkesan adalah tinggi. Walaupun prosedur ini selamat dan kerap dilakukan, terdapat beberapa risiko seperti jangkitan, pendarahan dan jarang sekali kecederaan pada rahim.

D&C ini mungkin akan juga dilakukan sekiranya terdapat pendarahan yang banyak bagi wanita yang mengalami keguguran atau masih terdapat tisu keguguran dalam rahim selepas pengambilan ubat.

Tisu keguguran tersebut akan dihantar kepada makmal untuk dipastikan keguguran kandungan.

Gugur sekali tidak bermaksud akan gugur lagi pada masa hadapan. Malah ramai yang berjaya mengandung kandungan yang sihat.

Apa yang akan terjadi seterusnya?

Wanita boleh mengalami pendarahan untuk satu hingga dua minggu selepas keguguran. Selalunya pendarahan adalah seperti darah haid pada hari- hari awal selepas keguguran. Kemudiannya pendarahan akan berkurangan seperti akhir haid.

Sekiranya kitaran haid teratur, seseorang wanita akan mendapat haidnya semula dalam 4- 6 minggu seterusnya. Tahap kesuburan akan kembali normal.

Sesetengah wanita akan berasa senggugut atau tidak selesa. Ini boleh berlaku pada awal proses keguguran. Namun begitu jika terdapat sakit yang kuat, atau pendarahan yang banyak serta terdapat demam atau terdapat bau pada pendarahan tersebut maka perlulah datang berjumpa doktor bagi memastikan tidak ada jangkitan kuman berlaku.

Menghadapi keguguran..

Setiap wanita adalah berbeza. Semestinya berita keguguran ini amat pahit untuk diterima dan diharungi bagi wanita yang menginginkan cahata mata. Sesetengah wanita menghadapinya seadanya. Namun ada juga mengalami kemurungan dan kesedihan ketika mengharungi ujian ini. Suami, ahli keluarga dan kawan terdekat adalah antara tempat untuk mendapatkan sokongan. Sekiranya memerlukan sokongan yang lebih, boleh berjumpa dengan doktor atau mendapatkan perkhidmatan kaunseling.

Semasa kembali berkerja

Bilakah masa yang sesuai untuk kembali bekerja bergantung akan keadaan wanita tersebut. Ada yang ingin kembali secepat mungkin agar kesibukan harian mampu mengubahkan tumpuan permikiran. Ada yang ingin mengambil cuti beberapa hari mengumpulkan tenaga dan menguatkan semangat menghadapi cabaran ini.

Hubungan suami isteri boleh kembali semula bersama bila pendarahan sudah berhenti serta berasa bersedia. Pasangan suami isteri boleh mencuba semula untuk mengandung bila- bila masa yang mereka berdua sudah bersedia dari aspek fizikal dan emosi.

Saya dah gugur sekali, adakah ini bermaksud saya berisiko untuk gugur lagi?

Wanita yang pernah keguguran sekali atau dua tidak mempunyai risiko yang lebih untuk keguguran pada kanudngan yang akan datang. Kebanyakkan keguguran berlaku hanya sebagai satu episod sahaja dan tidak mempunyai implikasi ke atas kandungan yang akan datang. Malah ramai yang keguguran mempunyai peluang yang cerah untuk mengandung kandungan yang sihat.

Namun begitu terdapat segelintir wanita yang mempunyai risiko untuk keguguran berturut- turut. Ini terjadi pada wanita yang mempunyai penyakit tertentu menyebabkan mereka berisiko lebih untuk mendapat keguguran yang berturut- turut.

Ada apa- apa yang boleh dilakukan?

Teruskan mengambil supplement asid folic 400mg setiap hari. Serta amalkan gaya hidup yang sihat.

Kesimpulan

• Keguguran awal kandungan adalah perkara yang boleh berlaku. Satu daripada empat  wanita mengalami keguguran tanpa apa- apa sebab yang jelas.

• Pendarahan dan / atau sakit perut di awal kandungan menjadi salah satu tanda keguguran. Wanita dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor untuk diperiksa.

• Ujian Ultrasound adalah salah satu pemeriksaan yang akan dilakukan utuk memeriksa keadaan kandungan di awal kandungan.

• Kebanyakan keguguran adalah satu peristiwa yang berlaku tanpa memberi implikasi selanjutnya pada kandungan akan datang. Ramai wanita mempunyai peluang yang baik untuk mengandung di masa hadapan.

Pasangan digalak untuk mendapatkan nasihat doktor sekiranya terdapat sebarang kemusykilan.

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print