Warning: Undefined array key "options" in /var/www/wp-content/plugins/elementor-pro/modules/theme-builder/widgets/site-logo.php on line 93
KEGUGURAN » Laman Fertiliti Kernamu
qtq80-lnoLkY

KEGUGURAN

Keguguran berlaku apabila kandungan sudah tidak menunjukkan perkembangan atau tanda mengandung seperti tiadanya degupan jantung bayi. Ini berlaku sebelum 24 minggu tempoh mengandung. Hampir setiap 1 daripada 4 wanita yang hamil mengalami keguguran. Kebanyakan keguguran berlaku pada trimester pertama, iaitu ketika 14 minggu pertama mengandung.

Antara tanda keguguran termasuklah pendarahan serta sakit senggugut. Kadang kala pendarahan akan menjadi begitu banyak dengan ketulan darah keluar bersama. Terdapat juga sesetangahnya mengalami ‘isi ikan’ atau kantung keluar dari faraj. ‘Isi ikan’ atau kantung tersebut berkemungkinan adalah kandungan yang keguguran.  Sesetengah juga boleh pitam sewaktu proses keguguran berlaku. Ini adalah lebih dikenali sebagai ‘vaso-vagal attack’ yang berlaku ketika proses keguguran berlaku akibat pangkal rahim membuka apabila kandungan keluar dari rahim ke faraj. Manakala sesetengah yang lain pula tidak mempunyai sebarang tanda keguguran.

1 daripada 4 wanita yang hamil mengalami keguguran

SEBAB BERLAKUNYA KEGUGURAN

Keguguran boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Dalam kebanyakan situasi, sebab berlakunya keguguran tidak diketahui. Namun di antara sebab berlakunya keguguran termasuklah faktor genetik yang tidak normal, perkembangan janin atau uri yang tidak sihat, jangkitan kuman sperti jangkitan kuman Cytomegalovirus, Toxoplasmosis atau Rubella, atau pun bentuk rahim yang tidak normal.

Terdapat juga beberapa ciri yang dikenal pasti menyebabkan seseorang wanita itu mempunyai risiko yang tinggi untuk keguguran. Antara risiko tersebut termasuklah faktor usia. Usia wanita yang lebih dari 35 tahun mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami keguguran. Ini adalah kerana risiko genetik yang tidak normal lebih kerap berlaku dikalangan wanita yang berusia lebih dari 35 tahun. Wanita yang merokok atau yang mengambil alkohol juga mempunyai risiko yang lebih untuk keguguran.

Faktor lain termasuklah masalah penyakit seperti penyakit kencing manis atau Polycystic Ovarian Syndrome boleh meletakkan seseorang wanita mempunyai risiko yang lebih untuk mengalami keguguran.

Seterusnya doktor akan menjalankan pemeriksaan menggunakan Ultrasound Scan bagi memastikan keadaan kandungan samada terdapat sebarang tanda ianya masih bernyawa seperti adanya degupan jantung, saiz janin, kedudukan janin dan juga memastikan bilangan kandungan yang terdapat di dalam rahim.

Darah juga akan diambil bagi memastikan paras Haemoglobin atau lebih dikenali sebagai darah merah berada dalam lingkungan paras yang normal. Selain itu kumpulan darah juga akan diperiksa termasuklah status Rhesus, sebagai langkah berjaga- jaga sekiranya perlunya pemindahan darah dilakukan.

Terdapat beberapa jenis keguguran. Diantaranya adalah Threatened Miscarriage, Missed Miscarriage, Incomplete Miscarriage, Complete Miscarriage, Septic Miscarriage atau Inevitable Miscarriage.

Threatened Miscarriage, Missed Miscarriage, Incomplete Miscarriage, Complete Miscarriage, Septic Miscarriage atau Inevitable Miscarriage.

Threatened Miscarriage berlaku apabila pesakit mempunyai pendarahan dari faraj. Apabila diperiksa, pintu rahim masih tertutup dan Ultrasound Scan menunjukkan jantung janin masih berdegup. Ini menunjukkan, pesakit masih mengandung. Keadaan yang berlaku adalah apabila kandungannya itu terancam dan mengalami pendarahan. Selalunya kes sebegini, pendarahan akan berhenti dengan sendirinya. Pesakit akan diberikan temujanji dalam masa seminggu dua untuk memastikan pendarahan yang dialami berhenti atau berkurangan disamping pemeriksaan Ultrasund Scan untuk melihat keadaan kandungan. Tiada sebarang ubat yang boleh diberi bagi memberhentikan pendarahan tersebut. Namun sesetengah doktor akan memberikan ubat hormon bagi memperkuatkan dinding rahim.

Missed Miscarriage berlaku apabila ibu tidak mempunyai sebarang tanda keguguran seperti sakit senggugut ataupun darah dari faraj. Apabila diperiksa pintu rahim masih tertutup. Kebanyakan ibu yang mengalami Missed Miscarriage tidak mensyaki beliau keguguran sehinggalah diagnosis dibuat oleh doktor melalui Ultrasound Scan. 

Incomplete Miscarriage berlaku apabila ibu sudah mengeluarkan sebahagian tisu atau janin dari faraj bersama darah. Para ibu akan mengalami sakit senggugut ketika itu. Namun begitu apabila diperiksa, masih terdapat tisu yang tertinggal atau janin di dalam rahim. Pintu rahim sudah terbuka dan terdapat pendarahan berlaku. Di kebanyakan kes, rawatan seterusnya adalah Suction & Curettage atau cuci rahim kerana risiko pendarahan dan jangkitan kuman sekiranya dibiarkan.

Complete Miscarriage pula berlaku apabila ibu telah pun mengeluarkan kesemua tisu kandungan dari faraj. Kebanyakan ibu memberitahu bahawa sebelum keluarnya tisu ini mereka mengalami sakit perut yang kuat. Namun setelah tisu keluar, sakit senggugut itu telah pun reda dan hilang. Apabila diperiksa, didapati pintu rahim telahpun tertutup dan tiada pendarahan berlaku. Pemeriksaan melalui Ultrasound Scan mendapati dinding rahim sudah pun tipis dan tiada lagi tisu atau janin berada dalam rahim.

Manakala Septic Miscarriage berlaku apabila terdapat jangkitan kepada dinding rahim dan juga tisu kandungan. Para ibu akan mengalami demam, sakit perut, pendarahan atau lendir dari faraj yang berbau. Rawatan yang perlu diberi termasuklah ubat antibiotik dan selepas itu Suction & Curettage. 

Inevitable Miscarriage berlaku apabila ibu mengalami sakit sengugut dan pendarahan dari faraj berlaku. Apabila diperiksa di dapati pintu rahim sudah membuka dan tisu kandungan dan janin sudah kelihatan di pangkal rahim. Namun begitu Ultrasound Scan menunjukkan janin masih bernyawa apabila kelihatan degupan jantung masih ada. Dalam kes begini, kerana usia kandungan yang masih terlalu awal, majoriti kandungan tidak dapat diselamatkan. Ibu akan mengalami keguguran dalam jangka masa terdekat. Ibu akan dimasukkan ke dalam wad dan diberikan ubat tahan sakit agar dapat melalui proses ini sebaik yang mungkin.

Tisu seperti ‘isi ikan’ yang keluar dari faraj ketika melalui prosedur ERPOC

RAWATAN BAGI PESAKIT YANG MENGALAMI KEGUGURAN

Apabila diagnosa telah dibuat dan didapati keguguran telah berlaku, pesakit akan diberikan tiga pilihan bagi tindakan seterusnya. Pilihan tersebut adalah sama ada pesakit ingin mengambil jalan tunggu dan lihat, teknik megambil ubat ataupun mengambil keputusan untuk cuci rahim.

Pilihan tunggu dan lihat dipilih oleh para pesakit untuk mengelakkan sebarang intervensi seperti ubat atau kaedah pembedahan dengan harapan agar proses keguguran ini dapat terjadi secara semula jadi. Walaupun kaedah ini mudah dan selamat, ia boleh mengambil masa yang lama. Selama tempoh itu juga pesakit berisiko menghadapi pendarahan dan juga sakit senggugut yang kerap. Doktor selalunya akan memberikan temujanji semula dalam masa dua minggu bagi memastikan agar proses keguguran berlaku tanpa sebarang komplikasi. Sekiranya dalam masa dua minggu tidak berlakunya keguguran, pesakit akan ditanyakan semula samada ingin memilih pilihan yang lain untuk merawat keguguran tersebut.  Biasanya dalam tempoh tersebut, kebanyakkan pesakit berjaya melalui proses keguguran secara semula jadi tanpa sebarang masalah.

Pilihan sama ada ingin mengambil jalan tunggu dan lihat, ambil ubat ataupun cuci rahim

Pilihan lain yang ada adalah dengan menggunakan ubat hormon bagi membantu proses keguguran berlaku. Ubat ini terdiri dari ubat makan atau ubat pil yang perlu dimasukkan ke dalam faraj (pessary). Namun begitu bukan setiap hospital ada menawarkan perkhidmatan ini. Setiap hospital juga mempunyai protokol rawatan yang tertentu dalam kaedah penggunaan ubat. Apa yang biasanya berlaku adalah pesakit akan diberi ubat hormon untuk dimakan atau ubat hormon akan dimasukkan ke dalam faraj. Pesakit akan dipantau di dalam wad harian sepanjang proses tersebut. Sesetegah pesakit akan mengalami sakit senggugut yang kuat dan akan mengalami keguguran pada hari yang sama. Sesetengah pesakit yang lain akan mengalaminya pada kemudian hari. Bagi pesakit yang tidak berjaya melalui proses keguguran, pilihan pembedahan atau cuci rahim akan diberikan.

Evacuation of Retained Product of Conception (ERPOC) atau juga lebih dikenali dengan “cuci rahim” adalah salah satu pilihan lain bagi pesakit yang mengalami keguguran. ERPOC akan dijalankan di dewan bedah. Pesakit akan diberikan ubat spinal atau dikenali sebagai ubat separuh sedar agar memastikan agar pesakit tidak merasa sakit ketika prosedur ini dilakukan. Doktor akan memasukkan tiub yang akan menyedut janin yang tidak menjadi dari rahim. Prosedur ini akan memakan masa selama 10-20 minit dan selalunya pesakit akan dibenarkan pulang ke rumah pada hari yang sama.

Kebaikan pilihan ini adalah ia mudah dan cepat. Ia juga merupakan prosedur yang terancang dan membolehkan pesakit membuat perancangan seterusnya. Namun begitu, prosedur ERPOC mempunyai komplikasinya yang tersendiri. Ini termasuklah risiko pendarahan, jangkitan kuman dan juga risiko rahim tercedera apabila rahim boleh tertembus apabila tiub dimasukkan ke dalam rahim. Risiko ini amat jarang sekali berlaku. Dalam kajian, risiko rahim cedera ini didapati berlaku dalam 0.3%. Ini bermaksud, sekiranya terdapat 1,000 orang menjalani ERPOC, maka 3 orang mengalami kecederaan pada rahim.   

Walau apa pilihan yang dibuat, pesakit digalakkan untuk membuat ujian air kencing tiga minggu selepas menjalani rawatan. Ini adalah memastikan hormon mengandung atau hCG telah kembali normal. Sekiranya ujian air kencing didapati positif, pesakit adalah dinasihatkan agar membuat temujanji dengan doktor untuk tujuan pemeriksaan selanjutnya.

..kebanyakan ibu yang mengalami keguguran dapat mengandung dan melahirkan zuriat pada masa hadapan tanpa sebarang implikasi dan masalah

Sememangnya keguguran adalah sebuah berita buruk bagi ramai bakal ibu. Berita ini berat untuk diterima. Ramai ibu dan juga bapa yang akan bersedih apabila doktor memberitahu mereka bahawa kandungan ini tidak menjadi. Trauma semasa berada dalam bilik bersama doktor, trauma perlu menjalani scan berkali-kali. Namun begitu para ibu dan juga bapa digalakkan untuk berbincang dan mendapatkan sokongan dari pasangan, doktor, jururawat terlatih, kaum keluarga dan sahabat handai.

Menurut statistik, dari ramai pasangan yang pernah melalui keguguran, bercerita dan berkongsi pengalaman dengan pasangan lain yang pernah melalui keguguran ini dapat membantu dan menguatkan semangat. Para ibu perlu mengetahui bahawa kebanyakan ibu yang mengalami keguguran dapat mengandung dan melahirkan zuriat pada masa hadapan tanpa sebarang implikasi dan masalah.

Ramai yang bertanya bilakah masa yang sesuai bagi mereka mengandung semula. Sebenarnya dari sudut perubatan tidak ada sebarang tempuh yang tertentu. Namun begitu kebanyakan doktor menasihatkan waktu yang sesuai adalah apabila sudah bersedia dari segi mental dan emosi serta apabila haid sudah kembali normal. Sebagai contoh apabila sudah tiga kali kitaran haid yang normal. Ini adalah kerana apabila haid sudah stabil, ia memudahkan pengiraan tempoh kandungan berdasarkan tarikh haid yang terakhir.

Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sekiranya terdapat sebarang persoalan, adalah digalakkan untuk bertanyakan kepada doktor anda.

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print