Warning: Undefined array key "options" in /var/www/wp-content/plugins/elementor-pro/modules/theme-builder/widgets/site-logo.php on line 93
"KAMI TIDAK BOLEH BERSAMA.." » Laman Fertiliti Kernamu
qtq80-8k8W4Y

“KAMI TIDAK BOLEH BERSAMA..”

“Saya rasa seolah- olah kulit saya terhiris dan sakit apabila setiap kali kami bersama”

“Sebenarnya doktor, walaupun kami sudah lima tahun kahwin, kami sebenarnya baru boleh bersama sejak beberapa minggu baru ini’’

“Saya tak kisah kalau tidak dapat anak. Saya rasa hubungan kelamin amat menjijikkan”

Begitulah antara perbualan antara saya dengan beberapa pasangan suami isteri. Masalah hubungan intim antara suami isteri merupakan antara masalah yang sebenarnya biasa dan berlaku. Namun ramai yang tidak datang ke hadapan untuk menceritakan masalah mereka. Apabila terdapat perbezaan apa yang diinginkan di antara suami dan isteri, maka berlakulah konflik. 

Setiap lelaki dan wanita yang sihat pastinya boleh melakukan hubungan kelamin tanpa sebarang masalah. Ini adalah sepatutnya perkara yang normal. Bagi pasangan suami isteri yang ingin mendapatkan cahaya mata, mereka digalakkan untuk bersama antara dua hingga tiga kali dalam seminggu bagi menaikkan peluang mereka menimang cahaya mata. Namun apabila hubungan ini tidak dapat dilakukan, maka peluang menimang cahaya mata terpaksa dipinggirkan dahulu. 

Perlu dijelaskan di sini, hubungan intim suami isteri dan menimang cahaya mata adalah dua perkara berbeza. Terdapat pasangan yang tidak dapat melakukan hubungan intim sama sekali tetapi ingin menimang cahaya mata. Sekiranya inilah hajat sebenar pasangan tersebut, impian untuk menimang cahaya mata dapat dilakukan dengan teknik rawatan kesuburan yang mana ianya tidak memerlukan hubungan intim di laksanakan oleh pasangan tersebut. Teknik ini termasuk teknik Intravaginal Insemination (IVI), Intrauterine Insemination (IUI) malah In Vitro Fertilization (IVF) juga boleh dilakukan. 

..hubungan intim dan keinginan mengandung adalah DUA perkara yang berbeza..

Teknik IVI adalah satu teknik di mana pasangan akan diajar bagaimana untuk memasukkan air mani suami ke dalam faraj dengan menggunakan picagari. Ianya boleh dilakukan oleh pasangan di rumah ataupun di klinik kesuburan. Teknik ini boleh dilakukan pada waktu subur samada dengan cara natural atau dengan bantuan ubat subur. Peratus kejayaan IVI ini dianggarkan sekitar 10%. IVI boleh dilakukan untuk beberapa kali ketika waktu subur wanita bagi meningkatkan peluang mengandung. Teknik IUI dan IVF boleh juga dilakukan, terutamanya bagi mereka yang tidak berjaya mengandung dengan teknik IVI. 

Mana- mana pasangan yang mempunyai masalah ketika bersama perlu datang berjumpa dengan doktor. Setelah sejarah kesihatan diambil, bagi wanita doktor selalunya akan memeriksa bahagian faraj dan memastikan tiada apa- apa masalah dikenal pasti. Antara perkara yang boleh dijumpai ketika memeriksa faraj adalah apabila terdapat selaput dara yang tebal atau pembukaan faraj yang kecil yang boleh menghalang hubungan kelamin berlaku. Sekiranya ini dijumpai, prosedur kecil perlu dilakukan bagi membuka laluan faraj tersebut. Prosedur ini akan dilakukan dengan menggunakan ubat bius agar ianya dapat dilakukan dengan keadaan yang optima. 

“Padanlah puan merasa macam terhiris dan sakit apabila bersama, kulit di faraj puan tebal menyebabkan pembuakaan faraj kecil. Sebab itulah tidak dapat bersama”.

Namun sekiranya pemeriksaan menunjukkan keadaan faraj normal, ujian ultrasound scan akan dilakukan seterusnya. Kebanyakkan wanita boleh menerima ujian scan dalam tanpa sebarang masalah. Ujian scan ini bertujuan untuk memantau rahim dan kilang telur wanita bagi memastikan tiada sebarang masalah dikenal pasti. 

“Bagaimana encik dan puan berjaya mengatasi masalah bersama baru- baru ini? Apa yang encik dan puan buat?”

“Kami memang banyak bersabar doktor. Kami baca dan jumpa pakar. Mereka berikan kami vaginal dilator dan kami gunakannya sebelum bersama. Alhamdulillah setelah beberapa lama mencuba kami berjaya.”

“Alhamdulillah. Mula- mula kami tak tahu pada siapa kami perlu minta bantuan. Lama juga kami ambil masa nak datang jumpa doktor. Malu, segan semuanya ada. Buntu kami dibuatnya. Bila pergi jumpa doktor, doktor periksa semuanya normal katanya. Tetapi masalah itu masih ada. Kami tidak dapat melakukan hubungan. Doktor kata keadaan ini adalah vaginismus. Doktor suruh jumpa kaunselor dan kami ikut apa yang kaunselor pesan. Sikit demi sedikit kami usahakan. Sekarang baru dapat kami lakukan tanpa apa- apa masalah. Dan kini bolehlah kami cuba lebih untuk mendapatkan cahaya mata. Maklumlah dah lima tahun berumah tangga. Mak ayah pun sudah bertanyakan bila nak dapat anak semua tu.”

“Cuma saya terkilan sikit, kalaulah kami datang lebih awal lagi, mana tahu sekarang ni dah ada seorang atau dua cahaya mata.”

“Betul tu. Sebab perkara ini amat sulit. Tak ramai pasangan yang datang awal.” 

Vaginismus berlaku apabila otot sekeliling faraj mengeras ketika hubungan seksual dilakukan. Ini menyebabkan hubungan seksual suami isteri menjadi sakit dan pedih. Ianya boleh berlaku antara 5- 17% di kalangan wanita. Vaginismus boleh diubati dengan mengambil dua langkah iaitu langkah kaunseling untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengapa berlaku reaksi sebegitu ketika bersama dan juga langkah penggunaan alat untuk membantu pembukaan faraj.  

Ada juga sesetengah pasangan yang langsung tidak dapat melakukan hubungan termasuklah ketika suami ingin mendekati mereka. Sentuhan dan pelukan tidak sama sekali dapat dilakukan kerana isteri tidak ingin didekati. Sesetengahnya menganggap hubungan intim termasuklah sentuhan dan pelukan adalah menjijikkan. Sekiranya ini berlaku pasangan tersebut perlu mendapatkan khidmat kaunselor atau rawatan doktor pakar di bidang psikiatri agar ianya dapat di atasi.

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print