Seperti yang diketahui umum, jangkitan Covid-19 telah menjadi satu jangkitan yang berleluasa. Ianya telah menjadi pandemik. Oleh itu banyak persatuan kesuburan seluruh dunia termasuklah American Society for Reproductive Medicine (ASRM), British Fertility Society (BFS) dan European Society of Human Reproduction and Embryology (ESHRE) telah menasihatkan agar rawatan kesuburan ditangguhkan buat seketika waktu.
Ini adalah kerana, walaupun sehingga kini tiada data yang menyatakan kesan negative jangkitan Covid-19 kepada kandungan, tetapi perlu dijelaskan bahawa data adalah terhad. Setakat ini ada data yang menunjukkan ibu yang mengalami jangkitan Covid-19 telah melahirkan bayi yang bebas dari jangkitan Covid-19. Dalam pada itu terdapat juga beberapa kes yang melaporkan komplikasi yang melibatkan ibu yang telah dijangkiti Covid-19. Namun ianya adalah terhad kepada beberapa kes sahaja.
Persatuan- persatuan kesuburan menyarankan agar langkah berhati- hati perlu diambil pada ketika ini. Perlu diketahui sebarang rawatan terutamanya pada pesakit yang tenat mungkin akan menggunakan ubat yang tidak selamat untuk kandungan bagi wanita yang sedang mengandung.
Bagi mereka yang telah pun memulakan rawatan kesuburan, adalah disarankan agar melakukan pembekuan embrio dan mengelakkan dari mengandung buat masa ini. Embrio yang telah dibekukan boleh digunakan pada masa hadapan. Ini juga adalah antara langkah- langkah berjaga bagi mengurangkan potensi bebanan yang boleh berlaku kepada sistem rawatan kesihatan sedia ada.
Namun begitu setiap pasangan mempunyai latarbelakang dan keperluan yang berbeza. Oleh yang demikian adalah dinasihatkan supaya pasangan berbincang dengan pakar kesuburan bagi menentukan perancangan rawatan kesuburan yang terbaik untuk mereka.
Pada masa yang sama marilah kita bersama- sama menyahut cabaran ini dan mengambil sikap postif dengan melakukan tiga perkara yang disarankan oleh Kementerisn Kesihatan Malaysia iaitu kerap cuci tangan, duduk di rumah dan amalkan penjarakan sosial. Bersama tangani wabak Covid-19.