Ramai pasangan yang bertanya mengenai peranan Tongkat Ali dalam kesuburan lelaki. Seperti yang kita semua ketahui Tongkat Ali adalah salah satu ubat tradisional yang dipercayai dapat membantu kesuburan lelaki. Secara umumnya isu kesuburan lelaki berkait rapat dengan bacaan bilangan, pergerakkan dan bentuk sperma di mana sperma tersebut tidak mampu bersenyawa dengan telur secara semula jadi.
Buat waktu ini, terdapat kajian yang dijalankan oleh penyelidik yang menunjukkan kesan kepada bacaan sperma. Ada beberapa kajian yang menunjukkan Tongkat Ali memperbaiki bacaan sperma namun pada masa yang sama terdapat juga kajian menunjukkan yang ianya tidak memberi kesan kepada bacaan sperma tersebut.
Sehingga kini, dalam rawatan kesuburan, pengambilan Tongkat Ali bukanlah antara ubat utama yang digunakan bagi memperbaiki bacaan sperma. Malah kaedah utama yang berkesan bagi mengatasi masalah kesuburan disebabkan bacaan sperma adalah dengan melakukan Teknik ICSI (Intracytospalmic Sperm Injection) di mana sperma disuntik secara terus ke dalam sel telur di dalam makmal bagi membantu proses persenyawaan berlaku. Ini bermakna pasangan perlu melakukan proses IVF, tetapi perbezaan yang berlaku terjadi di dalam makmal, di mana untuk ICSI ahli embryologist akan pilih sperma yang terbaik untuk disuntik terus ke dalam telur.
Sehingga lebih banyak kajian dan data yang lebih kukuh didapati maka barulah boleh dibuat keputusan yang lebih objektif mengenai ubat tradisional seperti Tongkat Ali. Namun, untuk rekod, sehingga ketika ini, belum ada lagi ubat yang boleh menaikkan jumlah sperma dan kualiti sperma yang disokong oleh kajian yang menyeluruh.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua. Kekalkan produktiviti anda bersama Sophea fertility center.