“Berapa telur saya doktor?” Itulah antara soalan pertama yang ditanyakan oleh seseorang wanita setelah melalui OPU (Oocyte Pick Up). Walaupun masih lagi terkesan dengan ubat ‘tidur’ yang diberi oleh doktor, namun di dalam pemikiran jelas sekali fikiran, perasaan dan hatinya risau akan berapakah bilangan telur yang berjaya dikutip sebentar tadi. Itu sahaja yang bermain di ingatannya. Walaupun belum sedar sepenuhnya. Walaupun belum kuat kakinya berdiri namun diraut mukanya penuh dengan kerut, tanda runsing dan risau andai kata telur yang dapat diambil tidak seperti yang diharapkan.
Berapakah bilangan telur yang boleh memberikan peluang yang baik untuk mengandung? Terdapat beberapa kajian yang telah dibuat untuk meneliti persoalan ini. Adakah lebih banyak bilangan telur, maka lebih tinggi peratus peluang mengandung? Dan adakah lebih sedikit bilangan telur, maka lebih rendah peratus kejayaan mengandung?
Di dalam kajian sains terdapat satu kajian yang dijalankan oleh Sunkara et al 2011 dengan tajuk Association between the number of eggs and the live birth in IVF treatment: an analysis of 400 135 treatment cycles (Hubungan antara bilangan telur dan kelahiran bayi melalui teknik rawatan tabung uji: Kajian kepada 400 135 kitaran). Kajian ini mendapati jumlah kelahiran bayi meningkat dengan bilangan telur. Namun hubungan ini berlaku hanya sehingga bilangan telur itu mencapai 15. Selepas bilangan telur melebihi 15, di dapati bilangan kelahiran bayi menurun.
Dalam erti kata yang lain, untuk mendapatkan peratus kelahiran yang tinggi, bilangan telur sebanyak 15 adalah bilangan yang optimum. Namun sekiranya bilangan telur yang dikutip melebihi 15, kadar kelahiran tidak akan meningkat sejajar dengan bilangan telur yang dikutip.
Ini adalah kerana, terdapat beberapa faktor lain yang perlu dilihat, termasuklah risiko Ovarian Hyperstimulation Syndrome (OHSS), risiko kegagalan penempelan akibat dari paras hormon estrogen yang tinggi yang membuatkan penempelan sukar berlaku.
Bagaimana pula dengan Frozen Embryo Transfer (FET)? Begitu juga dengan FET, data menunjukkan bilangan embrio yang dapat dibekukan tidak akan meningkat apabila jumlah telur yang dikutip melebihi 15.
Oleh itu terdapat had kepada jumlah telur yang dikutip. Banyak jumlah telur tidak semestinya ianya menjamin peratusan kelahiran yang tinggi. Perlu kita ketahui di sini kuantiti yang banyak tidak semestinya menjaminkan kualiti yang bagus. Ada wanita yang dapat lebih dari 20 telur dikutip, namun telurnya kebanyakannya tidak matang. Apabila tidak matang, ianya tidak boleh disenyawakan. Ada yang hanya memiliki 3 telur sahaja yang berjaya dikutip ketika OPU. Namun ke semua telurnya matang dan boleh disenyawakan. Beliau mempunyai tiga embrio. Satu embrio berhenti membahagi, satu berjaya di transfer dan satu lagi dibekukan. Beliau kini sedang mengandung. Alhamdulillah.