Warning: Undefined array key "options" in /var/www/wp-content/plugins/elementor-pro/modules/theme-builder/widgets/site-logo.php on line 93
“TIDAK LEMAH, TIDAK LESU & TIDAK MENYERAH KALAH!" » Laman Fertiliti Kernamu
qtq80-OcpFlA

“TIDAK LEMAH, TIDAK LESU & TIDAK MENYERAH KALAH!”

Tidak lemah, tidak lesu dan tidak menyerah kalah. Begitulah prinsip yang diamalkan oleh Ps dalam mengharungi cabaran TTC. Beliau yang mengalami penyakit endometriosis seakan bersahaja menyatakan prinsip beliau apabila ditanya bagaimana menempuh segala cabaran dan dugaan.

Pada awalnya PS sering mengalami sakit senggugut yang kuat setiap kali haid berlaku. Ada yang sampai sakit hingga demam dan mengigil- gigil menahan kesakitan. Sebab itu setelah berumah tangga, tidak lama lepas itu PS terus merujuk kepada doktor pakar kesuburan untuk mendapat rawatan. 

Sememangnya penyakit endometriosis ini adalah satu penyakit yang boleh menyebabkan masalah ketidaksuburan. Sakit endometriosis ini tidak seperti luka yang boleh dilihat oleh mata. Sakitnya berada di dalam. Malah cara yang terbaik untuk membuat diagnosis endometriosis adalah dengan melakukan pembedahan menggunakan kamera atau lebih dikenali sebagai laparoscopy. 

Apakah sebabnya berlaku endometriosis?

Endometriosis berlaku apabila sel- sel yang sepatutnya berada di dinding rahim juga dijumpai berada di luar rahim. Sel- sel ini boleh berada di ovari, tiub fallopian dan juga di mana- mana tempat termasuk di usus, dinding perut mahu pun di hati. Setiap kali kitaran haid, sel- sel ini juga terkesan oleh pengaruh hormon. Sekiranya sel emdometriosis ini berada di ovari, maka darah akan terkumpul dan membesar menjadi cyst atau dikenali sebagai endometrioma. Sekiranya berada di tiub fallopian, ia boleh menyebabkan tiub membengkak menjadi hydrosalphynx, tersumbat atau melekat pada organ lain atau dinding pelvis. 

Apakah tanda- tanda anda mengalami endometriosis?

Setiap wanita yang mempunyai endometriosis mengalami tanda- tanda atau simptom yang berbeza. Namun simptom yang biasa berlaku termasuklah:- 

  • Sakit di bahagian bawah perut atau sakit belakang. Sakit ini akan menjadi lebih kuat pada waktu haid.
  • Sakit senggugut yang kuat sehingga terpaksa ambil cuti atau tidak dapat melakukan aktiviti biasa.
  • Sakit ketika atau selepas bersama.
  • Sakit untuk membuang air kecil atau air besar ketika haid.
  • Ketidaksuburan.

Sesetengah wanita yang mengalami simptom endometriosis ini, boleh mengalami kemurungan kerana ianya memberi impak yang kuat. Hampir setiap bulan symptom yang teruk ini akan berulang semula. 

Bila perlu berjumpa doktor?

Sekiranya terdapat simptom di atas, anda di nasihatkan untuk berjumpa dengan doktor. Apabila anda berjumpa dengan doktor, doktor akan mendapatkan maklumat mengenai kitaran haid dan kesihatan anda. Doktor juga akan memeriksa anda dengan melakukan pemeriksaan di perut dan di faraj (jika perlu). Selalunya doktor akan membuat pemeriksaan Ultrasound di bahagian perut dan pelvis. 

Di sesetengah keadaan, tidak ada sebarang tanda endometriosis dapat dikesan dengan pemeriksaan ultrasound. Ini adalah kerana tiada cyst atau bengkak yang dapat dilihat dengan menggunakan ultrasound. Doktor anda mungkin akan mengesyorkan pembedahan kecil seperti Laparoscopy untuk melihat keadaan di dalam perut dan pelvis termasuklah keadaan rahim, tiub dan ovari. Sel- sel di luar rahim itu dapat dilihat dengan menggunakan laparoscopy. Pada masa yang sama doktor juga boleh memeriksa keadaan tiub fallopian sama ada ianya membengkak, tersumbat ataupun tidak. 

Apakah rawatan untuk endometriosis?

Rawatan untuk endometriosis adalah bergantung rapat dengan simptom yang terdapat pada seseorang wanita dan sejauh mana Endometriosis ini . Rawatan ini juga akan melihat pada keinginan seseorang wanita tersebut samada ingin menimang cahaya mata ataupun tidak. 

Rawatan untuk endometriosis termasuklah

  • Ubat penahan sakit seperti ubat paracetamol ataupun ibuprofen.
  • Bagi wanita yang belum bersedia untuk menimang cahaya mata, rawatan dengan menggunakan hormon seperti pil perancang, memakai implan atau alat di dalam rahim  adalah antara rawatan yang boleh dilakukan. 
  • Sekiranya terdapat endometrioma atau hydrosalpinx, pembedahan melalui teknik Laparoscopy juga akan dipertimbangkan. 
  • Membuang sel- sel endometriosis melalui teknik laparoscopy. 
  • Bagi wanita yang sudah lengkap keluarganya (bilangan anak) pada masa yang sama mengalami simptom endometriosis yang teruk, pembedahan mengeluarkan ovari dan rahim adalah antara pilihan yang boleh dibuat. 
  • Bagi wanita yang mempunyai masalah kesuburan dan mengalami endometriosis, adalah dinasihatkan bagi mereka untuk bertemu dengan pakar kesuburan bagi mendapatkan nasihat dan rawatan yang tepat. Rawatan bagi mereka yang inginkan cahaya mata akan memberi fokus secara menyeluruh kepada rawatan kesuburan. 

Setiap wanita mempunyai symptom yang berbeza. Maka rawatan yang sesuai bagi setiap wanita juga berbeza. Oleh itu amatlah penting untuk tampil berjumpa dengan doktor dan berbincang dengan lebih lanjut mengenai rawatan yang sesuai untuk mereka. 

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print