Warning: Undefined array key "options" in /var/www/wp-content/plugins/elementor-pro/modules/theme-builder/widgets/site-logo.php on line 93
5 RESOLUSI TAHUN BARU UNTUK TTC » Laman Fertiliti Kernamu
qtq80-3bCNi9

5 RESOLUSI TAHUN BARU UNTUK TTC

Setinggi seluas gunung dan lautan

Sejuta harapan dipertaruhkan

Beronak berliku jalan kulalui

Selagi berupaya kuteruskan

..begitulah antara lirik sebuah lagu yang didendangkan oleh Erra Fazira. 

Tahun baru 2021 kini sudah menjelma. Tahun baru memberi ruang untuk kita melakukan refleksi akan perkara yang telah berlaku. Pada masa yang sama mampu memberi nafas dan azam baru bagi memulakan dan meneruskan usaha kita untuk menimang cahaya mata. 

Dalam banyak perkara yang ada, antaranya terdapat lima perkara yang boleh dimulakan oleh TTC.

  1. Tambahkan ilmu mengenai rawatan kesuburan yang ada

Pasangan yang ingin menimang cahaya mata digalakkan untuk menambahkan ilmu mengenai kesuburan lelaki dan wanita. Ini termasuklah memahami kitaran haid, waktu subur perkara yang boleh dilakukan bersama bagi meningkatkan peluang untuk menimang cahaya mata. Begitu juga menyelami akan apakah pemeriksaan yang perlu dilakukan ketika saringan kesuburan dibuat. 

Selain itu mendalami ilmu mengenai pilihan rawatan kesuburan yang ada. Apakah baik buruk setiap rawatan dan apakah peratus kejayaan setiap rawatan yang ada. Ini termasuklah memahami akan apakah rawatan yang melibatkan pengambilan ubat subur seperti clomid, serta rawatan IUI dan IVF. 

Pasangan yang mengetahui akan pemeriksaan dan rawatan yang diambil akan lebih memahami dan kurang rasa tertekan ketika menjalani rawatan. Selain daripada itu pasangan digalakkan untuk bertanya kepada doktor dan jururawat sekiranya terdapat apa- apa keraguan. Ini dapat mengukuhkan lagi komunikasi antara doktor dan pasangan. Pasangan juga perlu menyatakan apakah pengharapan mereka kepada doktor dan jururawat agar tidak berlaku salah faham atau kemusykilan sekiranya hasil rawatan tidak seperti yang diinginkan.

  1. Tampil melakukan pemeriksaan kesuburan 

Antara langkah awal yang penting untuk pasangan TTC adalah untuk tampil kehadapan dan berjumpa dengan doktor pakar kesuburan. Pasangan yang sudah setahun mencuba namun belum tiba rezeki untuk menimang cahaya mata tidak perlu teragak- agak untuk membuat temujanji. 

Ramai pasangan membiarkan masa yang amat berharga berlalu, tahun demi tahun untuk mendapatkan rawatan. Umur wanita memainkan peranan yang pening untuk kesuburan. Usia yang muda mempunyai kejayaan yang lebih tinggi.

Ramai yang enggan untuk datang periksa kerana khuatir akhirnya mengetahui mereka adalah punca kesukaran mengandung. Perlu dinyatakan disini bahawa pemeriksaan dan rawatan kesuburan bukanlah bertujuan untuk mencari siapa yang salah. Tetapi sebaliknya adalah untuk mengetahui apakah rawatan yang terbaik boleh diberikan bagi membolehkan pasangan tersebut menimang cahaya mata. 

Maka tidak perlu risau atau takut untuk datang. Paling kurang pemeriksaan saringan dilakukan terlebih dahulu. Pasangan yang didapati tidak mempunyai apa- apa masalah dan masih mempunyai masa mungkin masih boleh mencuba tanpa sebarang rawatan kesburan. Namun sekiranya terdapat apa- apa sebab dijumpai, rawatan terbaik boleh diberikan tanpa melengahkan masa. 

  1. Meningkatkan kesefahaman antara suami isteri 

Ramai yang ketahui, pasangan TTC mempunyai tekanan yang tinggi dalam perjalanan mereka untuk menimang cahaya mata. Sebelum memulakan apa- apa rawatan, mereka sudah tertekan. Kesefahaman, sokongan dan bantuan amat diperlukan. Perjalanan ini mungkin pendek, mungkin panjang, mungkin lurus mungkin berliku- liku, apa yang dapat mengurangkan bebanan dan apa sahaja yang memudahkan perlu dilakukan bagi menempuh onak dan duri. 

Ada pasangan yang jadi lebih rapat, akrab dan saling sayang menyayangi. Namun ada juga yang sebaliknya. Maka kesefahaman dan keserasian akan yang dilalui perlu diperkukuh lagi. 

  1. Mengamalkan gaya hidup yang sihat

Pengamalan gaya hidup yang sihat sudah pasti perlu dilakukan oleh kedua- dua pasangan TTC. Ini termasuklah golongan lelaki. Mereka juga perlu mengamalkan gaya hidup sihat. Gaya hidup sihat seperti makan makanan yang sihat dan seimbang, banyakkan buah buahan dan sayur sayuran, senaman fizikal yang dapat juga mengurangkan tekanan dan bebanan adalah amat digalakkan. 

Rokok dan vape adalah sama sekali perlu dihindarkan. Ini termasuklah perokok pasif. 

Pengambilan asid Folik dan juga Vitamin D perlu diambil setiap hari oleh bakal ibu. 

  1. Meningkatkan amal ibadah dan sedekah

Semestinya. Sudah pasti. Selain dari usaha yang diambil, paling penting untuk kita teruskan memanjatkan pengharapan pada Rabbul Alamin. Dialah yang berkuasa atas segalanya. Perkara ini amat mudah sekali bagiNya. 

Maka bentangkanlah sejadahmu wahai TTC, sembahyanglah bersujudlah berdoalah berharaplah kepadaNya. Perbanyakkanlah solat sunat, solat hajat, tahajjud, dhuha, zikir dan sedekah. Semoga dimurahkan rezeki. Semoga perjalanan ini dipermudahkanNya. Dia yang maha mendengar dan mengetahui segala isi hati ini… 

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print