“Abang dah bagi tahu awal lagi..sebelum kahwin dulu.. tapi Mah tak nak dengar..”
“Abang..janganlah cakap macam tu.. kita usaha bang..”
“Kan sebab tu abang berpisah dulu..abang tak nak lalui semua ini…abang dah tak nak dah..kalau memang betul ini bukan rezeki abang..abang redha..abang harap Mah faham..”
“Maafkan saya encik dan puan. Mungkin saya perlu tinggalkan dulu bilik ini, agar puan dan encik boleh berbincang dahulu”
“Tidak apa doktor. Saya sudah tahu dah perkara ini akan berlaku. Cuma saya hanya mahu kepastian. Dulu memang saya bagi sampel, tiada sperma diketemui dalam air mani saya. Saya sebenarnya dulu sudah berumah tangga. Namun sebab tekanan, saya lepaskan isteri saya. Sekarang ini, sudah hampir lima tahun, saya ingat nak periksa manalah tahu kalua ada perubahan dalam bacaan sampel tersebut.”
“Segala yang baik telah pun saya amalkan. Saya pun tak faham doktor kenapa saya yang kiranya bersih ini tak merokok, tak minum, tak buat perkara yang tidak baik, kenapa saya kena semua ini?”
“Mah ini yang abang cakap dulu. Sebelum kahwin dengan Mah. Abang dah bagi tahu dekat Mah yang abang tak mampu untuk bagikan Mah anak. Mah dah tahu abang macam ni. Abang tak tipu pada Mah. Mah faham tak?.”
“Abang kita belum cuba habis lagi bang. Kita baru mula saringan..”
“Abang tak nak buat semua tu. Abang tak nak Mah lalui kena cucuk jarum setiap hari sebabkan abang…abang tak nak semua tu.. Mah faham tak? ”
“Abang ini kan usaha kita bang…kita belum lagi cuba bang. Kita pertimbangkan prosedur yang doktor kata tu dulu bang, sebab ada pasangan yang Berjaya melaluinya..lepas bedah, mereka boleh cari sperma dan kita ikhtiar dari situ bang..”
“Mah tak faham..abang tak nak lalui ini semua…abang tak nak kecewa lagi….ini semua terlalu berat untuk abang..”
“Keputusan di tangan Mah… samada Mah nak terima atau tidak…abang faham…Ini adalah abang…. Ini yang abang ada..inilah abang..seadanya..”
__________________________________________________________________________________________________________
Dianggarkan 1% daripada lelaki tidak mempunyai sperma di dalam air mani. Dianggarkan 10 -15% lelaki yang mengalami ketidaksuburan tiada sperma di dalam air mani. Ini adalah suatu diagnosis yang amat berat untuk diterima. Walaupun terdapat beberapa faktor mengapa berlakunya tiada sperma (Azoospermia), namun di kebanyakkan situasi, ianya tidak diketahui.
Mengapakah Azoospermia berlaku?
Terdapat beberapa sebab utama. Ini termasuklah tiada penghasilan sperma sama sekali di testis akibat dari kemoterapi atau paras hormon yang rendah, berlaku jangkitan atau kecederaan pada testis, masalah genetic seperti Sindrom Klienfelter ataupun masalah saluran testis yang tersumbat yang boleh menyebabkan sperma tidak dapat dikeluarkan walaupun ianya dihasilkan.
Apakah pemeriksaan yang boleh dilakukan?
Kebanyakkan lelaki yang mengalami Azoospermia tidak mempunyai apa- apa petanda atau symptom. Apabila ujian saringan sperma dilakukan dan di dapati tiada sperma di dalam air mani, maka beberapa pemeriksaan dan ujian akan dilakukan. Ini termasuklah pemeriksaan secara fizikal untuk memeriksa saiz testis dan kedudukan testis tersebut. Ujian darah untuk memeriksa hormon serta ujian genetik juga akan dilakukan di sesetengah kes.
Apakah rawatan yang boleh dilakukan?
Bergantung dengan keputusan pemeriksaan dan ujian darah, antara rawatan yang boleh dilakukan termasuklah pembedahan kecil pada testis untuk mendapatkan sperma. Sperma ini akan digunakan dengan menyuntiknya terus ke dalam telur melalui rawatan ICSI untuk menghasilkan embryo.
Harus dinyatakan di sini setiap keadaan adalah unik kepada setiap pasangan. Rawatan yang terbaik perlu dibawa bincang bersama dengan doktor pakar anda. Senario di atas adalah keadaan yang kerap kali berlaku di klinik kesuburan. Ramai yang beranggapan klinik kesuburan adalah klinik yang ceria dengan gambar bayi kembar dua atau tiga terpampang di setiap penjuru dinding yang ada, namun situasi sebenar amat berbeza sekali. Ramai pasangan yang hiba dan sedih akan keputusan yang diperolehi. Sememangnya jalan ini penuh dengan onak duri. Semoga perkongsian ini bermanfaat dan semoga usaha dipermudahkanNya.