qtq80-6m4yq0

ENDOMETRIOSIS & KESUBURAN

Endometriosis berlaku apabila sel- sel di dinding rahim juga dijumpai diluar rahim. Endometriosis boleh berada di mana- mana. Ianya boleh berada di bahagian luar rahim, ovari, dan tiub fallopian, di pundi kencing atau berada pada usus serta dinding pelvis. Jika dilihat dengan mata kasar, sel-sel endometriosis ini adalah seperti serbuk belerang. Sel- sel ini boleh memberi kesan kepada organ atau struktur yang berdekatan dengannya. Ini boleh menyebabkan radang, lekatan dan parut berlaku.  

1 daripada 10 wanita mempunyai Endometriosis

Bagaimana untuk mengetahui jika mempunyai endometriosis?

Ramai wanita yang mengalami endometriosis akan mempunyai sakit senggugut ketika haid. Ada yang mengalami sakit ketika seks. Sebilangan wanita tidak mempunyai sebarang tanda atau simptom. Endometriosis boleh menyukarkan seseorang wanita itu hamil. Endometriosis boleh tumbuh di dalam ovari dan seterusnya membentuk cyst atau juga dikenali sebagai endometrioma. Ini biasanya dapat dilihat pada ultrasound. Tidak seperti cyst endometrioma, sel-sel endometriosis yang seperti serbuk belerang tidak dapat dilihat melalui scan. Satu-satunya cara untuk mengetahui dengan pasti jika anda mempunyai endometriosis adalah melalui prosedur pembedahan kecil yang juga dikenali sebagai pembedahan laparoscopy.

Dianggarkan seseorang wanita mengambil hampir 7 tahun untuk diagnosis endometriosis dibuat

Adakah endometriosis menyebabkan kesukaran mengandung?

Sekiranya anda mempunyai endometriosis, mungkin lebih sukar bagi anda untuk hamil. Dianggarkan 30% hingga 50% wanita yang mempunyai endometriosis mengalami kesukaran mengandung. Endometriosis dapat mempengaruhi kesuburan dalam beberapa cara: ia menyebabkan struktur atau anatomi pelvis yang tidak normal akibat dari radang dan lekatan yang berlaku, tiub fallopian yang berparut atau tersumbat, keradangan di pelvis, perubahan fungsi sistem imun, perubahan persekitaran hormon, kualiti telur yang terkesan dan gangguan kepada implantasi embryo.

Sekiranya pembedahan dilakukan, doktor dapat memeriksa akan lokasi dan kedalaman endometriosis. Penilaian yang dibuat akan menentukan tahap endometriosis tersebut. Terdapat empat tahap penyakit endomterisosis ini iaitu tahap 1 hingga tahap 4.  Wanita yang mempunyai endometriosis tahap 4, mempunyai parut dan lekatan yang teruk, saluran tiub fallopian yang tersumbat, dan ovari yang rosak, mengalami kesukaran untuk hamil dan sering memerlukan rawatan kesuburan bagi meningkatkan peluang untuk mengandung.

30- 50% wanita yang mempunyai kesukaran mengandung mempunyai endometriosis

Bagaimana endometriosis dirawat?

Sel- sel endometriosis memerlukan hormone estrogen juga dikenali sebagai hormon wanita untuk berkembang. Ini bermakna selagi seseorang wanita itu mempunyai kitaran haid, endometriosis masih boleh ada. Pil kawalan kelahiran dan ubat hormone yang lain yang menurunkan atau menyekat estrogen boleh berkesan dalam memperbaiki gejala kesakitan. Bagi wanita yang ingin hamil, fokus rawatan adalah kepada khususnya rawatan kesuburan.

Sekiranya endometriosis dijumpai ketika pembedahan, doktor akan membuang sel- sel endometriosis dan membuang tisu parut. Rawatan ini akan memulihkan struktur anatomi normal anda dan membolehkan organ reproduktif anda berfungsi dengan lebih baik. Peluang anda untuk hamil bertambah baik selepas rawatan pembedahan, terutamanya jika endometriosis anda berada pada tahap tiga ke atas. Bagi sesetengah wanita, gabungan rawatan pembedahan dan rawatan kesuburan seperti IVF diperlukan bagi meningkatkan peluang anda untuk mengandung.

Gabungan rawatan pembedahan dan IVF boleh meningkatkan peluang untuk mengandung

Setiap keadaan adalah unik untuk setiap wanita tersebut. Rawatan yang terbaik perlu diaturkan mengikut keadaan dan situasi seseorang wanita dan pasangan tersebut. Sekiranya terdapat persoalan anda digalakkan untuk berbincang dengan doktor kesuburan anda bagi mendapatkan rawatan yang terbaik. Semoga urusan anda dipermudahkanNya.

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print