qtq80-3i3tt2

DAY 5 vs DAY 3 TRANSFER?

Akhir- akhir ini ramai yang bertanyakan apakah perbezaan antara day 3 (D3) dan day 5 (D5) transfer. Kenapa ada yang buat D3 dan ada yang buat D5 transfer? Apakah peluang mengandung dengan membuat D3 berbanding dengan D5 transfer? Kenapa sekiranya embryo sedikit kita praktis D3 transfer dan bukan D5?

Dalam satu webinar terkini bulan November 2020, Dr Tim Child seorang Professor Madya di University Oxford dan juga adalah Medical Director dari Oxford Fertility Centre, UK menjelaskan bahawa semua data dan kajian menunjukkan langkah untuk D5 transfer adalah sebuah langkah yang terbaik. Ini adalah kerana ianya melibatkan peratus kejayaan mengandung yang lebih tinggi dari D3 transfer.

Sekiranya dilihat D3 embryo adalah embryo yang terdiri dari 8 sel yang masih membahagi (cleavage stage embryo). Dari segi fisiologi, D3 embryo berada di dalam tiub fallopian yang sedang bergerak menuju ke rahim sambil proses pembahagian berlaku. D5 embryo adalah embryo yang sudah sampai di dalam rahim untuk meneruskan proses penempelan. Maka asasnya adalah D3 embryo sepatutnya berada di dalam tiub fallopian dan bukan di dalam rahim.

Peringkat Perkembangan Embryo. Source: https://www.remembryo.com/embryo-grading/

Kajian juga telah menunjukkan jika diletakkan embryo D3 dibandingkan dengan meletakkan embryo D5 (blastocyst) ke dalam rahim melalui proses embryo transfer, embryo D5 mempunyai kadar mengandung atau live birth yang lebih tinggi. Tidak kira berapa embryo D3 yang diletakkan ke dalam rahim, peratus kandungan dari D5 transfer tetap lebih tinggi.

Perjalanan embryo di dalam rahim. Source : https://uncommondescent.com/biology/reference-fertilisation-and-implantation/

Antara sebab utama mengapa D5 embryo mempunyai peratus kejayaan yang lebih tinggi adalah kerana apabila dilihat D5 embryo mempunyai peratus embryo yang euploid lebih tinggi (42%) berbanding D3 embryo (24%). Embryo euploid adalah embryo yang mempunyai kandungan genetik yang normal.

Apabila embryo membahagi dan berkembang di dalam makmal, dari hari pertama selepas bersenyawa terus ke hari ke tiga dan terus ke hari kelima, ianya merupakan proses saringan yang mana embryo yang kuat akan dapat bertahan sehingga hari ke 5. Ya bilangan embryo D5 akan berkurangan jika dibandingakan bilangan pada D3. Maka ini dapat mengelakkan dari melakukan proses transfer embryo yang tidak kuat (non- viable embryo). Dengan saringan ini, bilangan embryo yang perlu dibekukan juga berkurang. Ini dapat mengelakkan pembekuan non-viable embryo yang tidak perlu dilakukan.

Apakah matlamat sebenar rawatan IVF? Adakah melakukan transfer atau memiliki zuriat?

Bagaimana pula dengan wanita yang hanya sedikit bilangan telur?

Dr. Tim Child berkongsi maklumat di tempat beliau melakukan rawatan kesuburan. Di sana mereka hanya melakukan D5 embryo transfer. Ini bermaksud sekiranya wanita tersebut tidak mempunyai embryo pada hari ke 5, maka embryo transfer tidak dapat dilakukan. Dari data yang beliau kongsikan, wanita yang mempunyai hanya satu telur yang dikutip, peratus wanita tersebut memiliki D5 embryo adalah 48%, bagi yang mempunyai 2-3 telur, terdapat 62% mempunyai D5 embryo untuk di transfer. Ini bermaksud  wanita yang hanya mempunyai 1 telur yang Berjaya dikutip, terdapat 52% daripada mereka tidak boleh meneruskan rawatan embryo transfer kerana tiada embryo D5 untuk di transfer dan begitu juga terdapat 38% risiko wanita yang mempunyai 2-3 telur tidak mempunyai embryo D5 untuk ditransfer. Ini juga menunjukkan ada sesetengah wanita yang mempunyai rizab telur yang kurang atau disebabkan factor usia tidak dapat melengkapkan rawatan mereka dengan embryo transfer. Tetapi apakah tujuan asal rawatan IVF diberikan? Tambah Dr. Tim Child. Adakah matlamatnya adalah untuk sekadar melakukan embryo transfer atau adakah ianya untuk memiliki zuriat? Sekiranya tujuan asal adalah untuk memiliki zuriat, hakikat tiada embryo D5 untuk di transfer adalah satu hakikat yang perlu diterima. Tidak perlu melakukan D3 transfer hanya sekadar untuk melengkapkan rawatan walhal, kaedah saringan sehingga D5 dan melakukan D5 embryo transfer patut dipraktiskan 100% pada semua kitaran IVF tidak kira samada ada banyak telur atau tidak.

Wallahua’alam. Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sekiranya terdapat apa- apa pertanyaan, bolehlah berhubung dengan doktor fertiliti anda.  

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print