qtq80-i6wdlG

PERBEZAAN KOS IVF

Kos semestinya merupakan salah satu faktor yang akan menentukan di manakah pasangan suami isteri akan menjalani rawatan IVF. Di Malaysia kos satu kitaran rawatan IVF adalah sekitar RM9,000 sehingga RM50,000 dan mungkin juga lebih dari itu. Ramai yang sedia maklum tidak kira berapa kos rawatan IVF ini, ia bukannya mampu memberikan 100% jaminan yang rawatan tersebut akan berjaya.

Namun mengapakah terdapat perbezaan yang ketara antara satu rawatan IVF dengan rawatan IVF yang lain. Setiap pasangan perlu mengetahui apakah yang mereka dapat sekiranya membayar dengan jumlah tertentu dan kemanakah ianya digunakan untuk sesuatu rawatan IVF tersebut.

  • Ubat Suntikan

Hampir separuh (atau lebih) kos rawatan ini  digunakan untuk membiayai ubat suntikan hormon. Lebih banyak jenis hormon yang digunakan lebih mahal harganya. Begitu juga lebih tinggi dos yang digunakan lebih mahal kos ubat tersebut.

Seperti yang kita ketahui, setiap wanita berbeza. Ada yang hanya memerlukan dos yang rendah dan ada yang memerlukan dos yang tinggi. Ada yang hanya memerlukan 10 hari suntikan ada yang memerlukan lebih lama sehingga 15 hari suntikan bagi mematangkan telur tersebut. Lain pengeluar dan jenis ubat, maka lain kosnya.

Sesetengah wanita memberi respon yang lebih baik dengan sesejenis ubat hormon tertentu. Ada yang memerlukan hanya satu jenis hormon. Tetapi ada juga yang memerlukan sehingga tiga jenis suntikan hormon pada masa yang sama.

Maka berbezalah kos antara satu kitaran rawatan IVF dengan kitaran yang lain.  Oleh itu setiap pasangan perlu mengetahui sama ada rangsangan yang diberikan melalui ubat suntikan adakah ianya berbentuk stimulasi penuh atau stimulasi rendah. Jika stimulasi rendah yang digunakan bermaksud dos dan tempoh ubat suntikan adalah kurang berbanding dengan stimulasi penuh. Maka secara umumnya, kos juga akan menjadi lebih rendah.

  • Penggunaan Jarum ICSI

Perbezaan ICSI dan IVF adalah apa yang berlaku di dalam makmal. Rangsangan ovari yang berbentuk suntikan adalah sama bagi pasangan yang menjalani rawatan samada IVF atau ICSI. Tetapi apa yang berlaku di dalam makmal yang membezakan antara IVF dengan ICSI.

ICSI berlaku apabila sperma di suntik ke dalam telur. IVF pula berlaku apabila sperma dibenarkan bersenyawa dengan telur sendiri. Sperma yang “kuat” akan mampu bersenyawa dengan telur secara sendiri dan ada juga sperma memerlukan bantuan teknik ICSI. Teknik ICSI ini digunakan bagi mengatasi sperma yang tidak mampu bersenyawa dengan telur dengan sendiri.

Untuk ICSI berlaku ia akan memerlukan penggunaan jarum yang khas bagi membolehkan sperma disuntik ke dalam telur. Seperti alat perkakas yang lain, jarum ini akan dipakai buang. Ianya tidak diguna semula. Penggunaan jarum dan proses persenyawaan yang lebih kompleks ini akan menambah kos kepada jumlah rawatan. 

  • Penggunaan Alat Time Lapse

Inkubator Time Lapse adalah salah satu inkubator yang digunakan untuk memantau perkembangan embrio. Embrio terbentuk apabila telur berjaya disenyawakan oleh sperma. Apabila bersenyawa embrio akan telur membahagi dari dua sel ke empat sel, ke lapan sel dan seterusnya. Perkembangan embrio memerlukan keadaan persekitaran yang kondusif dan optimum. Ini termasuklah keadaan suhu, kandungan gas dan juga kepekatan dan jenis nutrisi yang digunakan di dalam inkubator (Rahim tiruan).

Bagi memantau perkembangan embrio, saintis (embryologist) di makmal pusat kesuburan akan mengeluarkan embrio tersebut dari inkubator dan memantau perkembangan embrio tersebut di bawah mikroskop. Apabila ini dilakukan, maka akan terdapat perubahan persekitaran embrio tersebut. Ini termasuklah perubahan suhu, gas dan nutrisi.

Walaupun waktu yang digunakan untuk proses pemantauan ini singkat namun terdapat perubahan ini boleh menjejaskan perkembangan embrio tersebut. Penggunaan inkubator Time Lapse untuk memantau perkembangan embrio tidak memerlukan embrio itu dikeluarkan untuk dipantau. Inkubator Time Lapse ini menggunakan kamera yang berkuasa tinggi untuk memantau perkembangan embrio secara berterusan tanpa memerlukan embrio dikeluarkan dari tempat persekitaran yang kondusif dan optimum.

Dengan penggunaan Time Lapse ini, ianya mengurangkan perubahan persekitaran berlaku bagi pembesaran embrio akibat pemantauan di bawah mikroskop yang perlu dilakukan setiap hari atau selang sehari bergantung dengan kualiti embrio yang terbentuk.

..Seperti kek di dalam Oven..

Perkembangan embrio ini boleh diumpamakan dengan apabila kita memasak kek di dalam oven. Sekiranya terlalu kerap membuka oven untuk memastikan kek sudah masak atau tidak, maka besar kemungkinan kek tersebut tidak akan naik dengan sebaiknya.

Pada masa yang sama, Time Lapse juga memberi informasi perkembangan embrio secara berterusan. Perkembangan ini dirakam di dalam video yang boleh diulang semula. Pegawai embryologist dapat melihat semula perkembangan setiap embrio dan memantau dengan lebih dekat lagi bagi memilih embrio yang terbaik untuk diletakkan semula ke dalam rahim.

Sesetengah embrio membahagi dengan cara yang tidak normal. Bagi sesetengah kes, perkembangan embrio yang tidak normal ini tidak dapat dikesan sekiranya pemantauan embrio berlaku pada hanya waktu tertentu tanpa Time Lapse.

Di tambah pula dengan penggunaan Artifical Intelligence (AI), Time Lapse mampu memberikan gred tertentu kepada setiap embrio. Gred embrio ini memberi maklumat tambahan kepada embryologist  untuk memilih embrio yang terbaik.

Rakaman video tersebut juga boleh diberikan kepada pasangan. Kedua-dua pasangan suami isteri boleh melihat bagaimana embrio mereka membahagi dan berkembang sepanjang tempuh pemantauan dalam alat Time Lapse.

  • Saringan Genetik (Preimplantation Genetic Disorder, PGD)

Salah satu dari ujian yang boleh dilakukan adalah pemeriksaan kandungan genetik dalam setiap embrio yang terhasil. Pemeriksaan ini melibatkan sampel sel dari embrio pada hari ke 5 di ambil dan diperiksa kandungan genetiknya. Ini termasuklah pemeriksaan samada bilangan genetiknya normal atau tidak, ataupun memastikan tidak terdapat penyakit genetik tertentu di dalam embrio tersebut.

Penggunaan Time Lapse memberi informasi akan perkembangan, pembahagian dan bentuk sel di dalam embrio. Namun pemeriksaan genetik ini memberi maklumat tentang kesihatan baka di dalam embrio tersebut. Contoh penyakit genetik yang sering disaring adalah Trisomy 21 atau lebih dikenali sebagai Down Syndrome serta Thalassaemia.

Pemeriksaan bentuk luaran embrio itu dengan menggunakan mikrosop atau Time Lapse dapat memberitahu embrio mana yang paling ‘cantik’ atau normal namun ianya tidak memberi sebarang maklumat tambahan samada ianya sihat atau tidak. Namun permeriksaan genetik dapat memberitahu dengan lebih mengenai ‘kesihatan’ setiap embrio yang terhasil.

Dengan maklumat ini, ianya membantu embryologist dan pasangan memilih embrio mana yang paling sesuai untuk diletakkan semula di dalam rahim. Namun proses makmal tambahan untuk melakukan saringan genetik ini akan turut kos IVF berbanding dengan pakej yang tidak melibatkan saringan genetik.

Tetapi bukan semua pasangan memerlukan saringan genetik. Saringan genetik ini digalakkan kepada mereka yang mempunyai penyakit genetik tertentu sahaja. Sebagai contoh kedua-dua pasangan suami isteri adalah pembawa baka Thalassemia, atau bagi wanita yang mengalami keguguran berturut-turut. Faktor usia wanita juga turut diambil kira, di mana wanita yang berusia 40 tahun dan ke atas mempunyai risiko yang lebih untuk mengandung bayi yang mempunyai Down Syndrome.

  • Perkhidmatan Kaunseling

Oleh kerana rawatan kesuburan ini memerlukan komitmen yang tinggi, ramai pasangan yang merasa tekanan ketika melalui rawatan ini. Oleh itu sebagai inisiatif bagi mengurangkan tekanan bagi pasangan, sesetengah pusat kesuburan menawarkan perkhidmatan kaunseling sebagai salah satu rawatan yang termasuk dalam pakej kesuburan. Walaupun ramai pasangan yang pada awalnya merasakan kaunseling mungkin tidak perlu, namun sekiranya rawatan yang diambil tidak berjaya dan mengambil masa yang lebih lama dari yang dianggarkan ianya sememangnya boleh memberikan tekanan yang amat kuat kepada pasangan suami isteri tersebut. Kajian juga menunjukkan kaunseling membantu pasangan mengharungi perjalanan rawatan kesuburan ini dengan lebih baik.

  • Pengiktirafan sesebuah pusat kesuburan

Memperolehi pengiktirafan oleh badan atau organisasi tertentu adalah penting bagi memastikan standard, mutu dan kualiti perkhidmatan yang diberikan mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

Ini termasuklah mendapatkan pengiktirafan dari badan antarabangsa. Dengan pengiktirafan ini, rawatan yang diberikan dapat dijamin bermutu dan berperingkat antarabangsa.

Sebagai contoh, Pusat Kesuburan Sophea diiktiraf oleh badan antarabangsa iaitu, Reproductive Technology Accreditation Committee (RTAC)

Oleh itu secara kesimpulan, apabila pasangan suami isteri ingin memilih pakej rawatan IVF tertentu, maka mereka perlulah mengetahui secara mendalam perkhidmatan apakah yang ditawarkan dalam setiap pakej yang ada.

Walaupun kos rawatan merupakan antara faktor penting dalam pemilihan rawatan IVF, pasangan perlu memastikan pakej tersebut adalah pakej yang terbaik buat mereka. Sila luangkan masa untuk berbincang dengan pakar fertiliti bagi menentukan plan rawatan serta pakej yang terbaik lagi sesuai dengan situasi dan keadaan.

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print