Warning: Undefined array key "options" in /var/www/wp-content/plugins/elementor-pro/modules/theme-builder/widgets/site-logo.php on line 93
Ovarian Drilling (Penggerudian Ovari) » Laman Fertiliti Kernamu
qtq80-DlSnzY

Ovarian Drilling (Penggerudian Ovari)

Ovarian Drilling adalah salah satu teknik rawatan yang boleh diberikan kepada wanita yang mempunyai PCOS. Selalunya wanita yang PCOS tidak mempunyai kitaran haid yang tetap. Apabila tiada kitaran haid yang tetap ini bermaksud bahawa seorang wanita itu tidak mengalami ovulasi setiap bulan. Oleh itu beliau boleh menghadapi kesukaran untuk hamil. 

Terdapat pelbagai jenis ubat kesuburan yang dapat meningkatkan peluang wanita yang mempunyai PCOS untuk mengalami ovulasi. Ini sekaligus dapat meningkatkan peluang mereka untuk hamil. Ubat- ubat ini termasuklah clomiphene citrate (clomid), aromatase inhibitor (letrozole atau femara), dan juga metformin.

Namun apabila pengambilan ubat-ubatan ini tidak berkesan, pilihan lain bagi membantu wanita untuk mengalami ovulasi adalah dengan melakukan prosedur pembedahan yang disebut sebagai Ovarian Drilling

Apakah Ovarian Drilling (penggerudian ovari) ?

Wanita yang mengalami PCOS biasanya mempunyai ovari yang mempunyai lapisan luar yang tebal. Ovari yang mempunyai lapisan luar yang tebal ini membuat lebih banyak testosteron. Tahap testosteron yang tinggi boleh menyebabkan kitaran haid tidak menentu. Disamping masalah jerawat atau rambut yang tumbih di muka atau di dada. 

Ovarian Drilling ini bertindak pada permukaan luar ovari yang tebal. Ini dapat menurunkan jumlah testosteron yang dibuat oleh ovari. Ia juga dapat membantu ovari melepaskan telur setiap bulan dan memulakan kitaran haid bulanan secara lebih teratur. Ini dapat memudahkan kehamilan.

Bagaimanakah Ovarian Drilling ini dilakukan?

Teknik pembedahan melalui laparascopy (tebuk) digunakan ketika melakukan Ovarian Drilling. Doktor pakar akan menggunakan kamera dan alat pembedahan untuk membuat beberapa lubang untuk dipaterikan di ovari. Kaedah ini membantu menurunkan jumlah testosteron yang dibuat oleh ovari.

Apakah faedah Ovarian Drilling?

Matlamat prosedur ini adalah untuk memulihkan kitaran haid wanita agar ianya menjadi lebih teratur dan membantu ovulasi berlaku. Dianggarkan sehingga 50% wanita berjaya hamil pada tahun pertama selepas melakukan Ovarian Drilling . 

Berbanding dengan rawatan kesuburan yang lain, Ovarian Drilling ini adalah hanya dilakukan sekali sahaja dalam merawati ketidaksuburan akibat dari PCOS. Walau bagaimanapun, kesan faedah dari Ovarian Drilling ini tidak kekal. Masalah ovulasi dan kitaran haid yang tidak tetap boleh berlaku semula. Oleh itu kesinambungan rawatan kesuburan selepas Ovarian Drilling perlu diteruskan sehingga berjaya. 

Ada juga wanita yang tetap mengalami kitaran haid yang tidak teratur walaupun setelah melakukan Ovarian Drilling. Namun begitu didapati wanita yang melakukan Ovarian Drilling akan memberi respon lebih baik kepada ubat kesuburan berbanding yang tidak melalui Ovarian Drilling.  

Apakah risiko Ovarian Drilling?

Kebanyakkan wanita yang melakukan Ovarian Drilling tidak mempunyai sebarang risiko atau komplikasi. Namun begitu keputusan untuk melakukan ovarian drilling tidak boleh diambil ringan. 

Kebanyakkan risiko adalah berkaitan dengan lumrah pembedahan itu sendiri. Seperti mana- mana prosedur pembedahan ianya melibatkan risiko pendarahan, jangkitan serta risiko ubat bius. Begitu juga dengan teknik pembedahan laparoskopi yang boleh menyebabkan kecederaan pada usus, pundi kencing, dan saluran darah. Namun ianya jarang berlaku. 

Terdapat juga risiko kepada kesuburan akibat dari Ovarian Drilling. Sekiranya lubang pateri yang dilakukan terlalu banyak, kerosakan pada ovari boleh berlaku. Lekatan dan parut juga boleh terjadi.

Oleh itu setiap pasangan digalakkan untuk mendapatkan khidmat nasihat dan perancangan yang terbaik untuk setiap pasangan. Semoga perkongsian ini bermanfaat.

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print