Warning: Undefined array key "options" in /var/www/wp-content/plugins/elementor-pro/modules/theme-builder/widgets/site-logo.php on line 93
KEMURUNGAN & KESUBURAN » Laman Fertiliti Kernamu
qtq80-1LieEV

KEMURUNGAN & KESUBURAN

Kesukaran untuk mengandung memberikan kesan emosi kepada setiap pasangan. Pasangan sering melaporkan mengalami kegelisahan, kemurungan, terasa terasing, kemarahan, dan kekecewaan. Kesan psikologi akibat kesukaran mengandung juga memberikan kesan kepada pasangan dalam usaha mereka mencari dan mendapatkan rawatan yang terbaik.

Waktu utama kebanyakkan pasangan merasai seolah- olah terdapat halangan besar bagi mendapat rawatan adalah ketika

  • Pertama kali membuat keputusan dan melangkah masuk ke klinik untuk melakukan ujian saringan kesuburan. Ramai yang mengambil masa lebih lama untuk tampil membuat saringan.
  • Kegagalan untuk datang semula memulakan rawatan selepas ujian saringan dilakukan
  • Kembali meneruskan rawatan selepas rawatan sebelum ini tidak berjaya

Berbanding dengan penyakit lain, kesukaran mengandung tidak mempunyai petanda atau symptom. Ini bermaksud pasangan suami isteri tidak mempunyai sakit atau gejala penyakit yang membuat mereka untuk datang lebih awal. Ianya bergantung hanya pada kesedaran dan inisiatif setiap pasangan tersebut. Pakar kesuburan pula tidak akan bertemu dengan mereka selagi mereka tidak tampil kehadapan. Oleh itu tidak hairanlah mengapa ramai yang terpinggir dan mencari- cari apakah jalan yang terbaik. Bagi mereka yang telah melakukan ujian saringan, sekiranya tidak datang pada tarikh temujanji, mungkin akan dihubungi beberapa kali untuk membuat temujanji yang baru. Namun sekiranya mereka tidak memberikan respon, mereka juga akan tercicir. Begitu juga pasangan yang tidak meneruskan rawatan mereka selepas tidak berjaya. Jika mereka tidak hadir, mereka juga terlepas dari meneruskan rawatan selanjutnya.  

Penghalang Kepada Lawatan Pertama

Bagi mereka yang berjuang dan menempuhi liku- liku kesukaran untuk mengandung, perjalanan rawatan kesuburan dipenuhi dengan pelbagai tekanan dan halangan. Walaupun terdapat kemajuan dalam bidang teknologi perubatan kesuburan, ramai lagi yang tidak menerima rawatan. Dianggarkan kira-kira 50% pasangan yang mangalami kesukaran untuk mengandung tidak pernah mendapatkan rawatan kesuburan, dan bagi mereka berjaya datang ke klinik kesuburuan, 20% mengambil masa lebih dari 2 tahun sebelum berjumpa dengan pakar. Apabila dilihat mengapa ramai yang tidak datang atau mengambil masa yang lebih lama, terdapat pelbagai faktor antaranya termasuklah kurang kesedaran, kebimbangan, tidak dapat menerima hakikat (denial), dan ketakutan. Risau akan kegagalan adalah salah satu faktor penghalang utama mengapa pasangan tidak mendapatkan rawatan kesuburan.

..merasa sedih ketika orang lain didapati mudah mengandung..

…bosan menerima cadangan mengenai cara untuk mengandung…

..merasa tidak selesa di sekitar wanita yang mengandung atau bayi

Kesan Psikologi Apabila Rawatan Tidak Berjaya

Walaupun dapat difahami bahawa terdapat kegelisahan dan kemurungan dikalangan pasangan yang sukar mengandung, pengalaman daripada kegagalan rawatan yang diterima akan memberi kesan negatif. Di tambah pula dengan rawatan kesuburan itu sendiri boleh memberi simptom kemurungan. Kajian lain menunjukkan 34% pasangan sudah mengalami symptom kemurungan sebelum rawatan dimulakan. 4.7% pasangan dia diagnos buat pertama kali mengalami kemurungan Ketika memulakan rawatan kesuburan. Manakala lebih dari 60% akan mengalami kemurungan setelah menjalani rawatan kesuburan.

Selain daripada itu, masalah sosial dan interpersonal sering kali timbul dan menyumbang kepada ketegangan emosi pasangan. Dalam satu kajian yang melibatkan 445 pasangan, 74% merasa sedih ketika orang lain didapati mudah mengandung, 67% bosan menerima cadangan mengenai cara untuk mengandung, dan 64% merasa tidak selesa di sekitar wanita yang mengandung atau bayi. Majoriti pasangan wanita merasai mereka “tidak lengkap sebagai seorang wanita” dan hanya 24% yang berpendapat bahawa ketidaksuburan ini menjadikan mereka lebih dekat dengan pasangan mereka.

..Alangkah baiknya sekiranya datang lebih awal..

Kajian yang sama meninjau sikap pasangan mengenai rawatan kesuburan, hanya 32% wanita yang dikaji telah memikirkan kemungkinan menghadapi masalah ketidaksuburan, 58% merasakan mereka menunggu terlalu lama untuk hamil, dan sebahagian besar dari wanita berharap mereka telah berjumpa dengan pakar kesuburan pada waktu lebih awal lagi. Rata-rata pasangan menunggu lebih dari 1 tahun sebelum datang melakukan saringan. Penghalang utama bagi mereka mendapatkan rawatan adalah risau akan kegagalan rawatan.

Perkara lain yang juga penting untuk diketahui adalah masalah teknikal yang dirasakan mempengaruhi pasangan dalam mengharungi rawatan kesuburan, seperti kebimbangan yang berkaitan dengan suntikan, kesan sampingan, implikasi kos, komitmen masa, dan jadual rawatan.

Faktor Mengapa Rawatan Dihentikan

Kita sering andaikan pasangan hanya akan menghentikan rawatan ketika mereka tidak lagi mampu atau ketika mereka dinasihatkan untuk hentikan rawatan oleh doktor mereka. Fokus utama rawatan kesuburuan adalah meningkatkan kadar kandungan. Kebanyakkannya tidak memberikan penekanan yang sewajarnya pada kesejahteraan dan keharmonian emosi pasangan semasa atau selepas rawatan.

Kajian menunjukkan peratus rawatan dihentikan adalah tinggi. Ini termasuklah bagi pasangan ditaja oleh pihak ketiga. Bagi pasangan yang tidak dibiayai, kos biasanya adalah faktor yang pertama sebab mengapa pasangan berhenti menjalani rawatan. Walau bagaimanapun, beban psikologi sepanjang proses IVF adalah antara faktor lain yang utama mengapa rawatan dihentikan.

..tidak lengkap sebagai seorang wanita…

Sebab utama yang diberikan pasangan adalah kebimbangan mengenai rawatan yang akan diterima dan persepsi negatif kepada rawatan tersebut. Psikologi dan faktor emosi ini merangkumi masalah yang sudah ada, kesukaran mengatasi emosi negatif yang disebabkan oleh rawatan yang tidak berjaya, ketidakpastian, ketegagangan, dan tekanan melakukan rawatan berulang. Ketegangan ini juga boleh memberi kesan negatif terhadap hubungan pasangan. Kemurungan ini boleh memberi kesan kepada keupayaan pasangan untuk menempuhi liku- liku rawatan kesuburan.  

Setiap percubaan yang gagal akan mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh pasangan. Sesetengah pasangan membuat keputusan untuk menghentikan rawatan, walaupun peluang masih ada.  

Cara Untuk Mengurangkan Bebanan Pasangan

Semakin kita memahami emosi dan psikologi yang dihadapi pasangan yang memerlukan rawatan kesuburan, semakin kita boleh membantu mereka melalui proses rawatan. Adalah penting untuk pasangan dirujuk kepada pakar kesuburan tepat pada waktunya.

Memberi maklumat dan menerangkan kepada pasangan setiap langkah yang diambil bagi memastikan pasangan faham sepenuhnya akan rawatan yang mereka terima. Ini termasuklah menyediakan bahan pendidikan dan maklumat yang sesuai dan secukupnya.

Selain daripada itu, saringan pada pasangan yang mungkin memerlukan bantuan kaunseling perlu dilakukan. Dengan mengambil kira setiap pasangan memerlukan cara yang berbeza. Begitu juga keperluan pasangan lelaki dengan wanita yang berlainan, kepelbagaian cara harus ada bagi mereka semasa mereka menjalani proses ini.

..memberi maklumat dan penerangan yang sepenuhnya..

bantuan & sokongan

..serta komunikasi secara berterusan..

Sokongan dan penglibatan setiap pasangan suami isteri sepanjang proses rawatan adalah elemen penting dalam meringankan bebankan yang dihadapi. Penglibatan ini dapat didorong melalui sesi perbincangan dan kaunseling. Memandangkan ketegangan hubungan adalah masalah yang sering berlaku, adalah penting untuk memastikan setiap pasangan terlibat sama. Kajian menunjukkan wanita yang diberi sokongan dan menerima intervensi dan kaunseling berjaya mengandung dua kali ganda bebanding dengan mereka yang tidak menerima bantuan. Ini berkait rapat dengan pasangan yang mendapat bantuan akan lebih cenderung untuk meneruskan rawatan dan tidak menghentikan rawatan secara tiba- tiba.

Kesinambungan penjagaan, bantuan, sokongan dan dorongan adalah kunci kejayaan dalam rawatan kesuburan. Penting bagi pasangan ini untuk merasa disokong dan difahami. Komunikasi berterusan adalah elemen yang penting. Ini termasuklah mengetahui dan memahami keputusan di sebalik menghentikan rawatan. Kemahiran mengurus tekanan, komunikasi yang efektif dan berterusan, mempermudahkan protokol rawatan dapat mengurangkan beban pesakit dan meningkatkan prestasi kejayaan rawatan.

Kesimpulannya, pergolakan emosi yang dialami oleh mereka yang menghadapi masalah ketidaksuburan sememangnya ada. Mengurangkan bebanan adalah langkah penting untuk meningkatkan kejayaan rawatan kesuburan. Bukan hanya penderitaan yang disebabkan oleh ketidaksuburan dan rawatan seterusnya menghalang pasangan memulakan rawatan, tetapi ia juga merupakan faktor utama bagi ramai pasangan untuk menghentikan rawatan. Ketakutan akan kegagalan menjadi penghalang pasangan memulakan rawatan kesuburan. Tekanan psikologi adalah faktor utama menghentikan rawatan. Jika halangan ini diatasi, pasangan boleh menjalani rawatan dan akhirnya meningkatkan kadar kandungan. Apapun sekiranya terdapat persoalan pasangan digalakkan untuk menghubungi dan berbincang dengan doktor kesuburan anda. Semoga segala urusan dipermudahkanNya.

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print