qtq80-sXKK9y

IVF : WHAT CAN GO WRONG?

Setelah beberapa hari cuba memikirkan tajuk yang sesuai di dalam bahasa melayu, tetapi bertemu jalan buntu. Pengisian kali ini adalah penting terutamanya bagi pasangan yang akan melalui rawatan IVF.

Ramai pasangan yang akan meneliti akan bilakah masa yang sesuai untuk memulakan rawatan IVF. Setelah semua persiapan dilakukan termasuklah ujian saringan kesuburan pada awal temujanji, kini tibalah masanya rawatan IVF dimulakan. Namun terdapat sebahagian pasangan yang rawatannya terpaksa dihentikan.

Antara sebab yang boleh berlaku menyebabkan rawatan IVF terpaksa dihentikan termasuklah

  • Terdapat cyst di ovari

Apabila rawatan IVF akan dimulakan, baseline ultrasound akan dilakukan. Pasangan akan diminta untuk hadir ke klinik pada awal kitaran iaitu antara hari kedua atau ketiga kitaran untuk baseline ultrasound dilakukan. Terkadang terdapat cyst dijumpai. Cyst ini selalunya adalah Copus Luteal Cyst yang saiznya kurang dari 5cm. Sekiranya cyst dijumpai doktor akan memberi ubat agar cyst tersebut menjadi kecil atau diserap badan pada kitaran akan datang.

  • Dinding rahim masih tebal.

Selain dari cyst, ketebalan dinding rahim juga akan dipantau. Pada awal kitaran haid, ketebalan dinding rahim perlulah nipis untuk ubat suntikan, IVF dimulakan. Sekiranya masih tebal, ujian darah untuk melihat paras hormone estrogen dan progesteron akan dilakukan bagi memastikan paras kedua- dua hormone adalah rendah sebelum memulakan rangsangan IVF. Jika paras masih tinggi maka ubat akan diberi sebelum memulakan rawatan IVF.  

  • Tiada respon yang baik dari stimulasi yang diberikan (poor response)

Walaupun kebanyakkan wanita yang melakukan rawatan IVF, sudah mengetahui paras AMH atau rizab telur yang dimiliki dan protocol yang sesuai telah digunakan untuk merangsang perkembangan telur, ada juga yang terjadi selepas lima enam hari dirangsang, tiada telur yang membesar. Ini boleh terjadi terutamanya bagi mereka yang mempunyai rizab telur yang rendah atau juga bagi wanita yang mempunyai PCOS. Tiada telur yang terangsang bagi wanita yang mempunyai PCOS mungkin disebabkan oleh kerana dos ubat yang lebih tinggi diperlukan untuk terangsang.

Oleh kerana tiada terangsang, rawatan terpaksa dihentikan dan protocol lain atau ubat hormone dengan dos yang lebih tinggi akan digunakan pada rawatan akan datang.

  • Terlalu banyak telur yang terangsang OHSS- menyebabkan embryo perlu di bekukan dahulu dan Frozen Embryo Transfer (FET)

Bagi wanita yang mempunyai rizab telur yang tinggi atau PCOS, mereka mempunyai risiko banyak telur terangsang. Ini dikatakan sebagai OHSS (Ovarian Hyperstimulation Syndrome). Jika ini berlaku, wanita dinasihatkan untuk membekukan embryo mereka terlebih dahulu dan melakukan embryo transfer pada kitaran akan datang melalui Frozen Embryo Transfer (FET). Langkah ini adalah lebih selamat dan dapat meningkatkan peluang mengandung.

  • Tiada telur selepas prosedur kutip telur (OPU)

Tiada telur yang dapat dikutip selepas OPU boleh berlaku terutamanya bagi mereka yang mempunyai  bilangan folikel yang terhad. Walaupun teknik ‘flushing’ digunakan, namun tiada telur yang dapat dikutip. Begitu juga bagi wanita yang mempunyai bilangan folikel yang banyak, pada hari OPU ada yang terkilan kerana telur yang dikutip tidak sebanyak yang dijangka.

Semua tahu yang telur hanya dapat dilihat dibawah mikroskop. Apa yang dilihat Ketika scan adalah folikel iaitu kantung yang mengandungi telur. Kita menggunakan saiz folikel sebagai ukuran kematangan telur. Namun samada telur tersebut matang atau sebaliknya hanya dapat dipastikan dengan melihat bentuknya atau ciri- cirinya di bawah mikroskop.

Ada juga berlaku dimana tiada telur yang didapati oleh kerana telur tersebut masih belum matang walaupun saiz folikelnya sudah besar. Terdapat juga situasi di mana folikel sudah pecah (premature ovulation) sebelum OPU dilakukan. Terdapat juga teori “empty follicle syndrome” di mana tiada telur di dalam folikel tersebut.

  • Tersilap atau terlupa waktu suntikan Trigger

Bagi wanita yang melalui rawatan IVF, ada suntikan terakhir akan diberikan untuk mematang telur- telur tersebut. Waktu suntikan trigger ini adalah amat penting bagi memastikan telur yang dikutip adalah matang. Selalunya OPU akan dijalankan pada waktu 36 jam selepas suntikan trigger dilakukan. Sekiranya terlupa atau terlambat ambil suntikan ini, pasangan perlu memberitahu pihak klinik agar waktu OPU dapat dirancang semula.

Pernah terjadi di mana pasangan terlupa mengambil suntikan trigger pada waktu yang dinasihatkan. Suntikan trigger diambil pada pukul 10 pagi keesokkan harinya sejerus selepas teringat. Oleh kerana waktu yang diperlukan adalah 36 jam selepas suntikan, maka OPU terpaksa dilakukan pada 10 malam ke-esokkan harinya. Embryologist pula perlu meneruskan proses persenyawaan di makmal sehingga pukul 2 pagi.

  • Telur yang didapati tidak matang utk melalui proses persenyawaan

Ini kerap berlaku pada wanita yang mengalami PCOS. Sering diingatkan kuantiti tidak selari dengan kualiti. Sebagai contoh sekiranya terdapat banyak telur yang dikutip, tidak semestinya semua akan bersenyawa.

  • Tiada persenyawaan berlaku

Walaupun setelah sperma disuntik terus ke dalam telur, tiada persenyawaan didapati. Ini boleh berlaku terutamanya jika terdapat isu dengan kualiti telur atau sperma atau kedua- duanya. Sekiranya tiada persenyawaan, tiada embryo terbentuk maka embryo transfer tidak dapat dilakukan.

  • Embryo tidak berkembang dengan baik

Persenyawaan berlaku, namun embryo tidak berkembang dengan baik atau berhenti sama sekali (arrested). Kualiti telur dan sperma memainkan peranan yang penting bagi menghasilkan kualiti embryo yang baik.

Ada juga keadaan di mana embryo membahagi dan dibiarkan membahagi sehingga menjadi blastocyst (Day 5 embryo). Namun pada hari ke- 5, di dapati kesemua embryo berhenti membahagi sama sekali (arrested). Keadaan ini juga berkait rapat dengan kualiti telur dan sperma serta embryo yang terhasil. Di sesetengah klinik mengamalkan hanya day 5 transfer, ini adalah salah satu risiko yang boleh berlaku.

Untuk pasangan yang menjalani rawatan Frozen Embryo Transfer (FET), pada hari FET, embryo yang beku tersebut akan melalui proses pencairan (thawing). Terkadang apa yang boleh berlaku embryo yang beku tidak berkembang dengan baik Ketika proses thawing. Sekiranya terdapat embryo yang lain, embryo lain akan dipilih utk thawing proses. Namun sekiranya tiada lagi embryo, FET tidak dapat diteruskan.  

  • Ujian genetik pada embryo menunjukkan kesemua embryo adalah tidak sihat atau mempunyai bilangan genetik yang tidak normal

Bagi pasangan yang melakukan ujian genetik pada embryo mereka oleh kerana risiko yang berkait rapat dengan usia wanita atau pernah mengalami keguguran berturut- turut, ada kemungkinan kesmua embryo didapati mempunyai kandungan genetik yang tidak sihat. Di dapam scenario ini, FET tidak dapat diteruskan.

  • Dinding rahim yang tidak tebal

Jika pada awal kitaran IVF, dinding rahim perlu nipis. Namun bagi embryo transfer, dinding rahim perlu tebal. Terdapat juga situasi di mana dinding rahim (endometrium) tidak cukup tebal. Target ketebala dinding rahim selalunya antara 7- 8mm. Peratus kejayaan mengandung didapati lebih tinggi sekiranya endometrium mencapai 7- 8mm. Sekiranya ketebalan dinding rahim kurang, doktor akan berbincang dengan pasangan samada lebih baik untuk memulakan semula rawatan di kitaran akan datang atau meneruskan embryo transfer.

  • Terdapat air di dinding rahim

Oleh kerana keadaan di dalam rahim dan tiub fallopio adalah suatu yang dinamik, air di dalam rahim boleh terlihat setelah rawatan dimulakan, walaupun pada awal rawatan tiada air kelihatan. Air ini selalunya terhasil oleh kerana keadaan tiub fallopio yang bengkak atau tersumbat. Sekiranya ini berlaku, embryo transfer tidak boleh diteruskan. Pemeriksaan yang lebih detail perlu dibuat. Sekiranya tiub bengkak atau tersumbat, tiub perlu dibuang atau di ‘klip’ melalui pembedahan laparoscopy.

  •  Terdapat kesukaran ketika embryo transfer dilakukan

Embryo akan dimasukkan dengan menggunakan tiub plastic lembut yang halus. Sekiranya pembukaan pangkal rahim sempit, embryo transfer boleh menjadi sukar. Ada sesetengah wanita perlu melakukan ‘trial of embryo transfer’ sekiranya kesukaran ini dapat dijangka pada awal rawatan. Namun ini tidak semestinya menjamin embryo transfer boleh dilakukan dengan baik pada hari transfer. Sekiranya embryo transfer tidak dapat dilakukan, embryo tersebut akan dibekukan dan prosedur hysteroscopy mungkin perlu dilakukan agar laluan sempit tadi dapat dilonggarkan dan keadaan dalam pangkal rahim dan rahim dapat diperiksa dengan lebih teliti sebelum embryo transfer dilakukan.  

Di atas adalah beberapa scenario yang mungkin terjadi semasa rawatan IVF dilakukan. Walaupun setelah perancangan dan penetelian telah dilakukan, namun tidak semuanya dapat dijangka 100%. Pasangan dinasihatkan untuk mempunyai sedikit ruang atau kelonggaran (flexibility) kerana tidak semua boleh dijangka sepenuhnya sehinggalah rawatan IVF dijalankan. Namun setiap kitaran akan memberikan maklumat yang penting akan bagaimana badan terkesan dengan ubat yang diberi agar ianya dapat dielakkan diperbaiki.  

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print