Warning: Undefined array key "options" in /var/www/wp-content/plugins/elementor-pro/modules/theme-builder/widgets/site-logo.php on line 93
APA ITU “UNEXPLAINED INFERTILITY"? » Laman Fertiliti Kernamu
qtq80-lkpSH6

APA ITU “UNEXPLAINED INFERTILITY”?

Unexplained infertility berlaku apabila pasangan mendapat keputusan yang normal ketika melakukan pemeriksaan saringan kesuburan. Ini bermaksud semua ujian yang dilakukan menunjukkan keputusan yang normal. Tidak ada sebarang masalah dijumpai samada ujian pada suami atau isteri. Saringan bacaan sperma menunjukkan bacaan bilangan, bentuk dan pergerakkan sperma yang normal. Isteri pula mempunyai kitaran haid yang normal dan proses ovulasi juga berlaku. Tiub fallopian pula tidak tersumbat. Namun selepas lebih setahun mencuba masih tidak dapat menimang cahaya mata. Situasi ini dikenali sebagai unexplained infertility. Dianggarkan hampir 30% pasangan menghadapai unexplained infertility.  Ini berlaku apabila sebab mengapa tidak boleh mengandung tidak dapat dikenal pasti menggunakan ujian saringan yang sedia ada. Oleh kerana puncanya tidak dapat dikenal pasti, pasangan yang semua ujian saringannya normal di kategorikan sebagai unexplained infertility.

Namun begitu apabila dilihat dengan lebih dekat kepada jenis ujian saringan yang sedia ada, didapati ujian yang ada adalah terhad. Hampir keseluruhan ujian yang ada adalah lebih kepada menilai aspek kuantiti dan bukan kualiti. Sebagai contoh, ramai yang sedia maklum untuk embrio terbentuk, sperma perlu bersenyawa dengan telur. Mempunyai bilangan sperma yang normal, bentuk yang normal pergerakkan yang normal tidak semestinya bermaksud sperma tersebut mampu bersenyawa dengan telur. Begitu juga mempunyai rizab telur yang normal tidak semestinya bermaksud kualiti telur itu adalah semestinya baik. Telur yang telah disenyawakan juga menjadi embrio tidak semestinya akan membahagi dengan kadar yang normal dan berjaya bergerak kearah rahim. Mempunyai tiub yang tidak tersumbat tidak semestinya bermaksud tiub itu mampu membawa embrio kembali ke dinding rahim. Embrio yang berjaya bergerak ke rahim tidak semestinya berjaya menempel di dinding rahim dan seterusnya membesar menjadi janin.

Dianggarkan hampir 30% pasangan suami isteri menghadapi unexplained infertility.

Oleh itu sebenarnya apabila diteliti semula, ujian saringan yang sedia ada adalah jauh dari serba lengkap dalam memberikan kita maklumat mengapa sehingga kini masih tidak berjaya menimang cahaya mata. Oleh kerana itu bagi pasangan yang mempunyai keputusan yang normal apabila ujian saringan dibuat dan masih belum berjaya, pasangan dikatakan mengahadapi unexplained infertility lebih kerana ujian saringan yang ada terhad dan tidak dapat mengenal pasti di mana silapnya.

Apakah rawatan yang disarankan bagi pasangan yang menghadapi unexplained infertility? Terdapat beberapa pilihan yang boleh dibuat. Bergantung kepada umur wanita pasangan tersebut dan berapa lama mereka sudah mencuba. Bagi yang masih muda dan baru sahaja mencuba lebih setahun contohnya, mereka boleh terus mencuba buat tahun kedua. Namun bagi pasangan yang lebih berusia dan seterusnya, mereka boleh mencuba teknik rawatan IUI (permanian beradas) atau terus menjalani rawatan IVF.

Mengapa terus IVF?

Ini adalah kerana IVF mampu memberikan lebih maklumat terhadap kualiti telur, sperma dan embrio yang terbentuk. Berbanding dengan IUI, ketika proses IVF dilakukan, telur diambil dari ovari. Kematangan telur dapat dilihat dengan menggunakan alat mikroskop. Sperma akan diproses dimakmal. Sperma yang aktif akan dibenarkan bersenyawa dengan telur. Sekiranya terdapat persenyawaan ianya boleh dipastikan apabila terdapat perubahan pada telur tadi. Embrio yang terbentuk hasil dari proses persenyawaan ini kemudiaanya akan membahagi dari satu sel kepada dua, empat, lapan sel dan seterusnya. Jika terdapat pembahagian yang tidak normal ianya dapat dikenal pasti.  Begitu juga sekiranya pembahagian sel tidak berlaku, perkembangan embrio itu akan terhenti.

Walaupun persoalan mengapa telur tidak bersenyawa, mengapa perkembangan embrio tidak normal atau terhenti tidak dapat diketahui sebabnya, namun perubahan tersebut dapat dikenal pasti. Oleh itu dalam kata lain, IVF dapat memberi maklumat yang lebih jika dibandingkan dengan IUI. Ini kerana IUI hanya berfungsi dengan menghantarkan sperma ke dalam rahim agar perjalanan sperma lebih pendek untuk berjumpa dengan telur jika dibandingkan dengan perjalanan sperma semasa hubungan suami isteri.

Namun begitu IVF bukanlah dapat memberikan maklumat sepenuhnya. Selepas embrio itu dipulangkan semula ke dalam rahim, proses penempelan pada dinding rahim perlu berlaku dengan sendiri. Sekiranya embrio itu berjaya menempel dan berkembang seterusnya, maka seseorang wanita itu berjaya mengandung. Namun terdapat juga situasi di mana walaupun embrio diletakkan semula ke dalam rahim, ada wanita yang gagal mengandung. Walaupun embrio tersebut berkembang dengan normal dan mempunyai gred yang baik. Ini berlaku kerana mungkin, proses penempelan tidak berlaku, atau ada yang menempel namun, embrio tidak berkembang atau embrio tersebut berkembang namun perkembangannya terhenti. Sekiranya ini berlaku, seseorang wanita itu kemudiannya mengalami keguguran di awal kandungan.

Oleh itu walaupun IVF adalah antara rawatan kesuburan yang ada, namun ianya tidak menjaminkan kejayaan 100%. Kejayaan rawatan IVF berkait rapat dengan faktor umur wanita. Namun begitu bagi pasangan yang menghadapi unexplained infertility mereka mempunyai peluang yang lebih baik untuk mengandung berbanding dengan pasangan yang mempunyai masalah kesuburan yang lain. Menjalani rawatan kesuburan ketika usia yang muda mendatangkan peratus kejayaan rawatan yang lebih tinggi.

Maka adalah dinasihatkan agar pasangan suami isteri tidak teragak- agak untuk berjumpa dengan doktor pakar fertiliti untuk mendapatkan maklumat lanjut dan rawatan yang sewajarnya.  

berkongsi catatan ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on print